WHATSAPP memperkenal ciri baharu yang membolehkan ibu bapa atau penjaga mengawal akaun milik kanak-kanak bawah 13 tahun, selaras usaha platform itu meningkatkan keselamatan pengguna muda.
Menerusi ciri akaun dikawal ibu bapa, mereka boleh menentukan siapa yang boleh menghantar mesej kepada anak-anak serta kumpulan yang boleh disertai, lapor Amanz.
Ibu bapa turut boleh menyemak permintaan mesej daripada nombor tidak dikenali dan menetapkan tahap privasi yang lebih ketat.
Semua tetapan ini dilindungi dengan PIN pada peranti kanak-kanak bagi memastikan ia tidak boleh diubah tanpa kebenaran.
Menurut WhatsApp, ciri berkenaan akan dilancar secara berperingkat dalam bulan-bulan akan datang.
Ciri itu dibangunkan dengan mengambil kira maklum balas daripada keluarga dan pakar keselamatan, bertujuan memberi ruang yang lebih selamat kepada kanak-kanak yang mula menggunakan aplikasi mesej tersebut.