Skip to main content

Dunia

Lima terperangkap dalam gua di Laos ditemukan selamat, bersemangat tinggi

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Lima individu yang terperangkap di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di Laos selama kira-kira seminggu ditemukan selamat, sihat dan bersemangat tinggi, walaupun pasukan penyelamat memaklumkan operasi membawa mereka keluar masih sukar dan berbahaya.
Lima individu yang terperangkap di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di Laos selama kira-kira seminggu ditemukan selamat, sihat dan bersemangat tinggi, 27 Mei 2026. --fotoBERNAMA

LIMA individu yang terperangkap di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di Laos selama kira-kira seminggu ditemukan selamat, sihat dan bersemangat tinggi, walaupun pasukan penyelamat memaklumkan operasi membawa mereka keluar masih sukar dan berbahaya.

Seorang daripada penyelam berpangkalan di Thailand yang terlibat dalam misi itu, Mikko Paasi berkata kelima-lima mangsa ditemukan di ruang hujung gua berkenaan selepas usaha pencarian intensif selama beberapa hari oleh pasukan penyelamat.

Menerusi hantaran di Facebook, Paasi menyifatkan operasi itu sebagai "bukan sesuatu yang mudah" dan memuji semua pasukan yang terlibat dalam misi menyelamat berkenaan.

"Selepas seminggu bekerja keras sebagai satu pasukan, kami akhirnya menemukan lima daripada tujuh pelombong yang dilaporkan hilang selepas terperangkap di dalam lombong yang dinaiki air di Laos.

"Bagi saya dan @benzscout (Norrased Palasing), kami perlu menyelam semula ke dalam untuk membawa lebih banyak bekalan kepada pelombong terbabit bagi memulihkan tenaga mereka sebagai persiapan untuk dibawa keluar," tulis penyelam warga Finland itu.

Paasi, yang merupakan antara penyelamat yang pernah terlibat dalam misi menyelamat dramatik 12 remaja lelaki dan jurulatih bola sepak mereka dari sebuah gua yang dinaiki air di utara Thailand pada 2018, menambah bahawa operasi membawa keluar mangsa masih belum selesai dan "tidak akan menjadi mudah".

Berkongsi rasa leganya selepas penemuan itu, Paasi menulis: "Mereka yang mengatakan ia tidak boleh dilakukan, tidak sepatutnya mengganggu orang yang sedang melaksanakannya."

Turut disertakan dalam hantaran itu ialah sebuah video yang menunjukkan kelima-lima mangsa ditanya nama serta keadaan mereka, dengan sebahagian besarnya menjawab bahawa mereka berada dalam keadaan baik tetapi lapar.

Terdahulu, ketua pasukan penyelamat Thailand Kengkard Bongkawong berkata: "Setakat 4.30 petang (0930 GMT), kami telah menemukan lima orang. Kami akan meneruskan pencarian untuk mengesan dua lagi mangsa," lapor Reuters.

Sementara itu, seorang lagi sukarelawan penyelamat Thailand, Chakrakrit Taengtung, turut memuat naik sebuah video di Facebook yang memaparkan Norrased dan Paasi bersama kelima-lima mangsa sedang bersorak sambil mengangkat tangan mereka.

Menurut laporan media, tujuh penduduk kampung warga Laos dilaporkan memasuki gua berkenaan di tengah Wilayah Xaysomboun dan terperangkap pada 20 Mei lepas selepas paras air mula meningkat.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement