JAKARTA: Indonesia merancang untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan penginapan domestik yang disenaraikan di platform agensi pelancongan dalam talian (OTA) memiliki lesen perniagaan yang sah menjelang Jun 2027, di bawah satu sistem pengesahan digital baharu bertujuan memperketat pengawasan terhadap sektor pelancongannya.
Menteri Pelancongan Widiyanti Putri Wardhana berkata kementeriannya sedang membangunkan sistem itu menggunakan platform Penyerahan Tunggal Dalam Talian (OSS) sedia ada di Indonesia untuk mengesahkan secara automatik sama ada penginapan yang dipasarkan melalui platform OTA, termasuk hotel, vila, inap desa dan sewaan jangka pendek, mempunyai lesen perniagaan yang sah.
"Hala tuju dasar kami adalah jelas. Kami berhasrat untuk memupuk industri pelancongan yang adil dan berdaya saing bagi menyokong pertumbuhan pelancongan mampan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Widiyanti berkata sistem berkenaan akan menggunakan mekanisme berasaskan Aplikasi Pengaturcaraan Antara Muka (API) yang dihubungkan kepada platform OTA dan sistem OSS untuk mengesahkan data perniagaan penginapan secara automatik.
Beliau berkata kementerian telah mengenal pasti beberapa pengusaha penginapan yang tidak berlesen dan akan menyerahkan senarai berkenaan kepada platform OTA untuk tindakan susulan.
Di bawah mekanisme yang dicadangkan itu, pengendali OTA akan menggantung atau mengeluarkan peniaga yang tidak patuh daripada dalam senarai berkenaan dalam tempoh dua bulan selepas menerima pemberitahuan rasmi, katanya.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif itu bertujuan meningkatkan tadbir urus ekosistem pelancongan digital Indonesia, melindungi pelancong, menyokong persaingan perniagaan yang adil dan menggalakkan pengusaha penginapan menyertai sistem perniagaan formal.
-- BERNAMA