Skip to main content

Teknologi

TP-Link umum pelan WiFi 8, Archer 8 bakal dilancar Oktober

AMANZ
Langkah itu meletakkan TP-Link antara syarikat terawal memperkenalkan perkakasan berasaskan draf awal teknologi tersebut, walaupun standard rasmi global IEEE 802.11bn dijangka dimuktamadkan sepenuhnya menjelang 2028. -Foto Amanz

SYARIKAT penyedia kelengkapan rangkaian global, TP-Link, mengumumkan pelan hala tuju produk pertama yang menyokong teknologi internet tanpa wayar generasi akan datang, WiFi 8, lapor Amanz.

Langkah itu meletakkan TP-Link antara syarikat terawal memperkenalkan perkakasan berasaskan draf awal teknologi tersebut, walaupun standard rasmi global IEEE 802.11bn dijangka dimuktamadkan sepenuhnya menjelang 2028.

Menurut kenyataan syarikat itu, penghala WiFi 8 pertama, TP-Link Archer 8, dijadual memasuki pasaran pada Oktober ini.

Ia diikuti sistem rangkaian mesh TP-Link Deco 8 yang dijangka dilancarkan pada suku pertama 2027, sebelum model mudah alih TP-Link Roam 8 diperkenalkan pada suku kedua tahun sama.

TP-Link menjelaskan WiFi 8 tidak memberi tumpuan kepada peningkatan kelajuan maksimum, sebaliknya mengekalkan kadar throughput teori yang hampir sama dengan WiFi 7.

“Perbezaan utama teknologi ini ialah keupayaannya mengoptimumkan kecekapan rangkaian, mengurangkan masa pendaman (latency), serta mengekalkan kestabilan sambungan apabila banyak peranti disambungkan serentak,” menurut kenyataan itu.

Ciri tersebut direka bagi mengatasi isu kelembapan pemindahan data antara unit penghala dalam sistem rangkaian mesh.

Pada masa sama, TP-Link sedang menjalankan proses kelulusan kawal selia daripada Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) di Amerika Syarikat bagi membolehkan peranti pra-standard ini dipasarkan.

Langkah itu dilihat penting bagi mengekalkan kedudukan syarikat dalam segmen perkakasan rangkaian pengguna di negara berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement