BERLIN: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Munich, selatan Jerman, digantung kira-kira sejam pagi ini selepas dua juruterbang melaporkan penampakan dron di ruang udara berhampiran landasan, lapor The Mirror.
Pihak lapangan terbang dan Polis Persekutuan Jerman mengesahkan penutupan itu dibuat sebagai langkah keselamatan susulan laporan berkenaan.
Jurucakap Polis Persekutuan, Stefan Bayer berkata objek yang dipercayai dron itu dikesan berhampiran landasan sekitar 9 pagi waktu tempatan.
Menurut beliau, pihak berkuasa bersama kawalan trafik udara Jerman kemudian memutuskan untuk menutup kedua-dua landasan penerbangan.
“Satu operasi turut dijalankan melibatkan anggota polis dan helikopter bagi memeriksa kawasan sekitar lapangan terbang,” katanya.
Akibat gangguan itu, lebih 20 penerbangan yang dijadualkan mendarat terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain, manakala beberapa penerbangan berdepan kelewatan dan pembatalan.
Bagaimanapun, pemeriksaan tidak menemui sebarang objek fizikal di kawasan tersebut.
“Selepas ancaman keselamatan diketepikan, operasi penerbangan disambung semula kira-kira 10.05 pagi,” katanya.
Beliau berkata siasatan telah dibuka bagi mengenal pasti punca serta individu yang terlibat.