TOKYO: Gergasi teknologi Jepun, Sony, mengumumkan kenaikan harga jualan konsol PlayStation 5 (PS5), PlayStation 5 Pro dan peranti PlayStation Portal di seluruh dunia berkuat kuasa 2 April ini, lapor Amanz.
Sony dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut perlu diambil bagi memastikan syarikat terus berupaya menawarkan "pengalaman permainan video yang inovatif" kepada komuniti pemain global meskipun menyedari impak kenaikan harga berkenaan.
Setakat ini, pelarasan harga baharu hanya diumumkan bagi pasaran Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Eropah, manakala harga jualan rasmi untuk pasaran Malaysia masih belum dipaparkan di laman web Sony Malaysia.
Tinjauan pasaran mendapati stok bagi model PlayStation 5 Disc Console (Slim) dan PlayStation Portal berwarna putih masih tersedia untuk pembelian setakat pagi ini, namun model-model lain dilaporkan telah habis terjual di kebanyakan pengedar sah.
Penganalisis industri berpendapat kenaikan harga ini berkemungkinan besar didorong oleh peningkatan kos komponen storan dan semikonduktor yang kini terkesan akibat persaingan sengit daripada sektor pusat data kecerdasan buatan (AI).
Sebelum ini, Sony pernah melakukan pelarasan harga serupa pada tahun 2022 atas faktor inflasi global, menjadikan ini kenaikan harga besar kedua buat generasi konsol semasa mereka.
Langkah terbaharu ini dijangka mencetuskan pembelian panik dalam kalangan peminat permainan video tempatan yang ingin mendapatkan konsol tersebut sebelum harga baharu dikuatkuasakan secara rasmi minggu hadapan.