Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: PM Jepun gesa Presiden Iran segera pastikan laluan selamat di Selat Hormuz

Japan's Prime Minister Sanae Takaichi speaks to media after holding phone talks with Iran's President Masoud Pezeshkian at her official residence in Tokyo, Japan April 8, 2026, in this photo taken by Kyodo. Mandatory credit Kyodo/via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT. JAPAN OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN JAPAN.
Jepun berharap satu “perjanjian muktamad” melalui usaha diplomatik dapat dicapai dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri Takaichi. - Gambar Reuters

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi pada Rabu menggesa Iran agar segera memastikan laluan selamat bagi kapal dari semua negara melalui Selat Hormuz ketika beliau mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian susulan pengumuman perjanjian gencatan senjata bersyarat selama dua minggu antara Iran dan Amerika Syarikat.

Takaichi ketika bercakap kepada pemberita selepas panggilan selama 25 minit itu, berkata, beliau turut menyampaikan kepada pemimpin Iran itu mengenai kepentingan meredakan ketegangan konflik di Asia Barat dengan segera dan kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berhubung, lapor Agensi Berita Kyodo.

“Saya menegaskan yang Selat Hormuz adalah lokasi penting bagi logistik global dan merupakan aset awam antarabangsa,” kata Takaichi, sambil menyifatkan perjanjian gencatan senjata itu sebagai satu “langkah positif.”

Jepun berharap satu “perjanjian muktamad” melalui usaha diplomatik dapat dicapai dalam masa terdekat, katanya. Ini adalah perbincangan pertama antara kedua-dua pemimpin itu.

Perjanjian gencatan senjata itu diumumkan oleh Pakistan sebagai perantara sejurus sebelum tamat tempoh yang ditetapkan sendiri oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada lewat Selasa, yang memberi amaran kepada Tehran agar membuka semula Selat Hormuz atau berdepan kemusnahan infrastruktur pentingnya.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, tentera negaranya akan “menghentikan operasi pertahanan” sekiranya serangan terhadap Iran dihentikan dan bahawa “laluan selamat” melalui selat itu akan dapat dilaksanakan selama dua minggu “melalui penyelarasan dengan Angkatan Tentera Iran serta dengan mengambil kira kekangan teknikal.”

Sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada akhir Februari, Iran secara efektif menyekat selat itu yang merupakan laluan penting bagi pengangkutan tenaga global, sekali gus mencetuskan gangguan bekalan minyak dan kenaikan harga.

Jepun bergantung kepada Asia Barat bagi lebih 90 peratus import minyak mentahnya, dengan kebanyakannya melalui selat berkenaan. Sekutu keselamatan rapat AS itu secara tradisinya mengekalkan hubungan baik dengan Iran.

-- BERNAMA-KYODO

 

 

Must Watch Video