Skip to main content

Teknologi

Sony, TCL bentuk Bravia Inc perkasakan perniagaan TV global

Sony Dilaporkan Menjual Pegangan Perniagaan Hiburan Rumah Kepada TCL Pada Nilai $1 bilion
Menerusi kerjasama itu, TCL akan memegang pegangan majoriti sebanyak 51 peratus, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Sony. -Gambar fail/Amanz

TOKYO: Sony dan TCL secara rasmi mengumumkan pembentukan syarikat usaha sama baharu, Bravia Inc, bagi memperkukuh perniagaan hiburan rumah di peringkat global.

Menerusi kerjasama itu, TCL akan memegang pegangan majoriti sebanyak 51 peratus, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Sony, lapor Amanz.

Entiti baharu ini akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan, reka bentuk, pengeluaran, jualan, logistik serta perkhidmatan pelanggan bagi rangkaian produk televisyen Bravia, panel perusahaan B2B, paparan LED, projektor dan sistem audio rumah.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, 100 peratus ekuiti dalam Sony EMCS (Malaysia) Sdn Bhd, yang merupakan pusat pengeluaran utama produk hiburan Sony, akan dipindahkan kepada pihak TCL.

Langkah ini menandakan peralihan strategik dalam rantaian bekalan dan pembuatan produk hiburan syarikat gergasi Jepun berkenaan.

Walaupun struktur pegangan saham berubah, produk-produk keluaran syarikat usaha sama ini dijangka akan terus menggunakan jenama Sony dan Bravia.

Langkah tersebut bertujuan mengekalkan nilai eksklusif dan kepercayaan pengguna terhadap kualiti visual serta audio yang sinonim dengan jenama berkenaan selama ini.

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah proaktif kedua-dua syarikat dalam mendepani persaingan sengit pasaran televisyen dunia dengan menggabungkan kepakaran teknologi Sony serta kecekapan pengeluaran berskala besar milik TCL.

Must Watch Video