Skip to main content

Teknologi

Sony perkenal teknologi TV True RGB, sasar kualiti setanding OLED

Sony Umumkan Teknologi True RGB Mini LED Untuk Bersaing Dengan OLED_Amanz
Sony memaklumkan panel True RGB mampu mengekalkan tahap kecerahan yang konsisten tanpa masalah limpahan cahaya atau “blooming”, selain memastikan kualiti visual yang stabil dari pelbagai sudut tontonan. -Foto Amanz

TOKYO: Sony memperkenalkan teknologi panel televisyen (TV) baharu yang dikenali sebagai True RGB, yang disasarkan menawarkan ketepatan warna setanding panel OLED namun pada kos lebih kompetitif, khususnya bagi saiz skrin besar, lapor Amanz.

Teknologi di bawah kategori Mini LED itu menggunakan sistem tiga diod pencahayaan latar, iaitu merah, hijau dan biru, bagi menghasilkan warna yang lebih tepat berbanding panel Mini LED konvensional yang lazimnya bergantung kepada konfigurasi dua diod.

Menerusi pendekatan berkenaan, Sony memaklumkan panel True RGB mampu mengekalkan tahap kecerahan yang konsisten tanpa masalah limpahan cahaya atau “blooming”, selain memastikan kualiti visual yang stabil dari pelbagai sudut tontonan.

Bagi mencapai ketepatan warna itu, setiap diod yang bersaiz beberapa ratus mikrometer dikawal secara individu oleh pemproses khas, sekali gus membolehkan setiap unit pencahayaan latar beroperasi pada tahap optimum.

Pengenalan teknologi berkenaan turut dilihat sebagai usaha Sony menangani isu “burn‑in” yang sering dikaitkan dengan panel OLED, di samping menawarkan tahap kecerahan lebih tinggi untuk penggunaan di ruang tamu yang terang.

Sony turut memberi bayangan bahawa model televisyen pertama yang dilengkapi teknologi True RGB dijangka memasuki pasaran global menjelang musim bunga akan datang.

Penganalisis industri menyifatkan inovasi itu sebagai strategi Sony untuk mengukuhkan kedudukan dalam segmen TV premium bersaiz besar, dengan menawarkan kualiti visual tinggi pada kos pengeluaran yang lebih efisien.

Must Watch Video