KUALA LUMPUR: Tindakan seorang remaja membaling bata dari tingkat atas sebuah pangsapuri di Cheras mengundang padah apabila aksinya itu tular di media sosial baru-baru ini.
Aksi remaja terbabit sebelum itu dipercayai dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kediaman berkenaan.
Rakaman video terbabit memaparkan seorang remaja lelaki berjalan di laluan pejalan kaki bangunan sebelum berhenti dan mengambil seketul bata yang berada di hadapan salah sebuah unit rumah.
Individu itu kemudian dilihat meninjau keadaan sekeliling sebelum bertindak mencampakkan bata tersebut ke aras bawah bangunan terbabit.
Tindakan berbahaya itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penghuni kerana berpotensi mengundang kecederaan serius sekiranya terkena individu lain.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, setakat ini tiada laporan kecederaan melibatkan mana-mana individu dalam insiden berkenaan.
Beliau berkata, maklumat lanjut berhubung kejadian itu akan dimaklumkan kemudian. -Sinar Harian