ISLAMABAD: Pesawat "Minab 168" yang membawa delegasi Tehran ke pusingan rundingan bersama Amerika Syarikat (AS) di sini, dilaporkan membawa barangan peribadi dan foto kanak-kanak sekolah yang terkorban dalam serangan awal konflik pada 28 Februari lalu.
Langkah simbolik itu diambil bagi memperingati sekurang-kurangnya 168 mangsa, yang sebahagian besarnya merupakan kanak-kanak, yang terbunuh dalam serangan udara oleh tentera AS dan Israel ke atas sebuah sekolah di Minab pada hari pertama peperangan tercetus.
همراهان من در این پرواز#Minab168 pic.twitter.com/xvXmDlSDiF
— محمدباقر قالیباف | MB Ghalibaf (@mb_ghalibaf) April 10, 2026
Delegasi Iran dilaporkan membawa barangan tersebut sebagai peringatan fizikal terhadap kesan kemanusiaan yang dialami negara itu sepanjang konflik berlangsung, ketika kedua-dua pihak cuba mencari jalan penyelesaian diplomatik di Pakistan.
Kehadiran barangan mangsa di atas pesawat berkenaan turut menarik perhatian media antarabangsa yang menyifatkannya sebagai mesej jelas Tehran mengenai tuntutan keadilan bagi mangsa awam dalam rundingan damai tersebut.
Setakat ini, rundingan yang dianjurkan dengan pengantaraan Pakistan itu dilihat sebagai peluang kritikal bagi menghentikan pertumpahan darah yang telah meragut ribuan nyawa di Asia Barat.
Penganalisis berpandangan pendedahan simbolik berkaitan tragedi di Minab itu bertujuan memberi tekanan moral dalam menetapkan syarat-syarat gencatan senjata yang lebih menyeluruh, khususnya berkaitan perlindungan orang awam.
Untuk rekod, serangan ke atas sekolah di Minab merupakan antara insiden paling tragis dalam sejarah konflik tersebut yang sehingga kini masih menjadi titik tolak kemarahan rakyat Iran terhadap tindakan ketenteraan AS dan Israel.