Skip to main content

Teknologi

Sony Honda Mobility batal pembangunan AFEELA 1 selepas Honda ubah strategi EV

Sumber: AMANZ
Pembatalan itu memberi kesan langsung kepada kesinambungan projek memandangkan Honda merupakan penyedia platform, teknologi dan aset pengeluaran untuk usaha sama tersebut. -Gambar fail/Amanz

TOKYO: Sony Honda Mobility (SHM) hari ini mengumumkan pembatalan pembangunan kenderaan elektrik (EV) sulungnya, AFEELA 1, bersama sebuah lagi model di bawah jenama sama, susulan penstrukturan semula strategi EV Honda yang menyaksikan pembatalan beberapa projek utama termasuk Honda 0 SUV, Honda 0 Saloon dan Acura RSX.

Pembatalan itu memberi kesan langsung kepada kesinambungan projek memandangkan Honda merupakan penyedia platform, teknologi dan aset pengeluaran untuk usaha sama tersebut, Amanz.

Tanpa sokongan teknikal berkenaan, SHM menegaskan ia tidak mempunyai laluan yang berdaya maju untuk membawa model-model berkenaan ke pasaran seperti dirancang.

Dalam kenyataan rasmi, SHM memaklumkan pelanggan yang telah membuat tempahan AFEELA 1 akan menerima bayaran balik sepenuhnya dalam masa terdekat.

Syarikat itu turut meneruskan perbincangan bersama Sony dan Honda untuk merangka hala tuju serta pelan perniagaan baharu bagi jangka masa sederhana dan panjang.

Projek AFEELA bermula sejak 2020 melalui konsep Sony Vision-S yang menampilkan teknologi pemanduan autonomi lanjutan, termasuk penggunaan rangkaian sensor dan keupayaan pemprosesan berprestasi tinggi.

Pengenalan model AFEELA 1 pada CES 2025 memperlihatkan dua varian — AFEELA 1 Origin pada harga AS$89,900 dan AFEELA 1 Signature pada harga AS$102,900.

Selain menumpukan kepada keselamatan dan prestasi, AFEELA turut dirancang untuk membawa pengalaman hiburan digital sepenuhnya ke dalam kabin melalui integrasi aplikasi popular serta kandungan multimedia yang dibangunkan oleh rakan teknologi Sony.

Langkah penghentian ini mencerminkan cabaran besar yang dihadapi pengeluar automotif tradisional dan syarikat teknologi dalam menyeimbangkan kos pembangunan EV yang tinggi dengan pasaran global yang semakin kompetitif di tengah-tengah ketidaktentuan permintaan pengguna.

Must Watch Video