KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa keputusannya memfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak bukan didorong keinginan untuk memusnahkan kerjaya politik bekas perdana menteri itu.
Dzulkefly, 70, berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada hari kedua perbicaraan berhubung hantaran Facebook yang diterbitkan pada Ogos 2020.
Hantaran tersebut mendakwa beliau mengamalkan nepotisme bagi memastikan pelantikan anak perempuannya Nurul Iman sebagai ahli lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Ketika ditanya oleh Muhammad Shafee sama ada beliau turut menyaman dua individu iaitu Najib dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Dzulkefly mengesahkan perkara itu, namun memaklumkan kes melibatkan Asyraf telah diselesaikan.
Menteri itu turut menjelaskan bahawa beliau tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap akhbar yang melaporkan isu sama.
Muhammad Shafee: “Anda memilih untuk menyaman anak guam saya terutamanya kerana ini adalah cara untuk memusnahkan beliau supaya tidak lagi bangkit dalam arena politik?”
Dzulkefly: “Tidak.”
Sementara itu, ketika disoal peguamnya Stanley Sebastian Sinnappen mengenai dakwaan peguam defendan bahawa beliau berniat memusnahkan Najib secara politik, Dzulkefly menjawab bahawa “Soalan itu agak pelik dan saya tidak fikir ada kebenaran padanya”.
Ditanya sebab beliau memilih untuk menyaman Najib, menteri itu menegaskan bahawa hantaran Facebook berkenaan merujuk secara langsung kepada beliau dan anak perempuannya.
“Ia jelas bukan sekadar untuk membuat tuduhan, malah menyerang saya berhubung pelantikan anak saya. Bagi saya, ia merupakan fitnah dan bertujuan menjatuhkan reputasi saya di mata umum,” katanya.
Sementara itu, ketika disoal seorang lagi peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Dzulkefly mengakui bahawa hantaran Facebook itu boleh dianggap sebagai sebahagian daripada wacana politik biasa serta kritikan awam yang boleh disuarakan oleh mana-mana pihak.
“Ya, tetapi ia mesti dilakukan secara bertanggungjawab. Anda mempunyai hak untuk bersuara, namun perlu mematuhi adab dan etika. Kritikan tidak seharusnya bertukar menjadi tuduhan terhadap sesiapa. Hak itu ada selagi tidak melangkaui batas hingga menjadi fitnah,” katanya.
Peguam itu turut mencadangkan bahawa hantaran bertarikh 24 Ogos 2020 oleh anak guamnya sekadar meluahkan kebimbangan terhadap apa yang boleh dianggap sebagai pelantikan politik, kronisme dan nepotisme — kritikan yang lazim dibangkitkan ahli politik merentas parti.
Muhammad Farhan seterusnya mengemukakan kepada plaintif bahawa Najib, ketika memuat naik hantaran itu, hanya melakukan perkara sama, iaitu menyuarakan kebimbangan mengenai pelantikan politik, kronisme dan nepotisme.
Menjawab perkara itu, Dzulkefly berkata: “Beliau sendiri tahu niat di sebalik hantaran itu yang dibuat 19 bulan selepas pelantikan (Nurul Iman).”
Nurul Iman dilantik sebagai ahli lembaga AIM, sebuah badan amanah berkaitan kerajaan pada Oktober 2018 manakala Dzulkefly dilantik sebagai menteri pada Mei 2018.
Sejurus selepas Dzulkefly selesai memberi keterangan, mahkamah mula mendengar keterangan Nurul Iman. Prosiding di hadapan Hakim Mahazan Mat Taib akan disambung esok.
-- BERNAMA