IPOH: Kerajaan Negeri Perak menegaskan tiada perancangan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat seperti yang didakwa sebuah artikel akhbar tempatan.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata dakwaan itu tidak berasas kerana perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana platform rasmi kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini yang mendakwa Perak akan mengadakan PRN sebagai 'ujian penilai' sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya sendiri terkejut membaca artikel tersebut kerana perkara ini tidak pernah dibincangkan. Malah, untuk mengadakan PRN, menteri besar perlu menghadap Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) bagi mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sekiranya cadangan itu tidak diperkenankan, ia boleh dianggap sebagai peletakan jawatan menteri besar. Jadi, perkara ini tidak mungkin berlaku kerana saya tidak akan menghadap Tuanku untuk tujuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) bagi edisi 2025/2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah PORT Datuk Khairudin Abu Hanipah dan Pengurus Besar PORT Nur Hanim Mohamed Khairuddin.
Saarani berkata kerajaan negeri masih mempunyai tempoh lebih setahun untuk meneruskan mandat pentadbiran yang diberikan bagi tempoh lima tahun.
“Kesimpulannya, secara peribadi saya melihat tidak ada kemungkinan untuk PRN diadakan dalam masa terdekat,” katanya.
-- BERNAMA