Skip to main content

Teknologi

Penggunaan AI mampu kurangkan kos pembikinan filem – Pengarah Hollywood

Tidak boleh dinafikan menerusi siri filem Bourne, Doug Liman mengubah bagaimana filem aksi dihasilkan di Hollywood. Kerana Bourne, siri James Bond menjadi lebih realistik, ganas dan gritty berbanding era sebelum Daniel Craig. Tidak terhenti di situ Liman juga menghasilkan filem Edge of Tomorrow, Mr. & Mrs Smith dan Jumper yang juga mempunyai aksi ikonik.
Penggambaran filem tersebut dijalankan sepenuhnya dalam set kosong dikenali sebagai gray box, tanpa penggunaan lokasi sebenar. -Gambar Amanz

PENGARAH terkenal siri filem "Bourne", Doug Liman, berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif mampu mengurangkan kos pembikinan filem secara ketara, daripada sekitar AS$300 juta (kira-kira RM1.27 bilion) kepada hanya AS$70 juta (kira-kira RM295.9 juta).

Liman, yang mengarahkan filem "Bitcoin: Killing Satoshi" lakonan Gal Gadot dan Pete Davidson, menyifatkan naskhah itu sebagai filem bertaraf studio Hollywood pertama yang menggunakan teknologi AI secara menyeluruh dalam proses penghasilan visual.

Menurutnya, penggambaran filem tersebut dijalankan sepenuhnya dalam set kosong dikenali sebagai gray box, tanpa penggunaan lokasi sebenar, lapor Amanz.

Elemen latar, pencahayaan, objek serta kesan khas dijana menggunakan AI pada peringkat pasca produksi, menggantikan kaedah konvensional seperti layar hijau atau biru.

Kerja-kerja kesan visual bagi filem itu dikendalikan oleh Acme AI & FX, sebuah syarikat teknologi yang diasaskan Liman bersama rakan kongsi industrinya.

Liman berkata pendekatan berkenaan bukan sahaja mengurangkan kos dan tempoh penggambaran, malah berpotensi mengubah model ekonomi pembikinan filem global sekiranya kualiti visual dapat dikekalkan setanding kaedah tradisional.

Seiring itu, penggunaan AI dalam industri hiburan dilihat semakin meluas apabila platform penstriman utama mula menguji teknologi berkenaan untuk melancarkan proses penerbitan serta mengurangkan kos operasi.

Di Malaysia, teknologi AI generatif juga semakin digunakan dalam penghasilan filem, siri televisyen dan kandungan video tempatan.

Liman sebelum ini dikenali sebagai antara pengarah yang memberi impak besar kepada filem aksi Hollywood menerusi karya seperti "Edge of Tomorrow", "Mr & Mrs Smith" dan "Jumper".

Must Watch Video