Skip to main content

Teknologi

Pengeluaran telefon pintar global susut 4.1 peratus pada Q1 - IDC

81734678191_TBMOBILEPUBLIC.jpg
Laporan terbaharu firma penyelidikan International Data Corporation (IDC) mendedahkan hanya 289.7 juta unit telefon pintar direkodkan pada suku berkenaan, berbanding 302 juta unit pada Q1 2025. -Gambar hiasan

PENGELUARAN telefon pintar global pada suku pertama 2026 (Q1 2026) mencatatkan penyusutan 4.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, didorong oleh kekurangan bekalan RAM dan storan di peringkat global.

Laporan terbaharu firma penyelidikan International Data Corporation (IDC) dipetik Amanz mendedahkan hanya 289.7 juta unit telefon pintar direkodkan pada suku berkenaan, berbanding 302 juta unit pada Q1 2025.

Image
https://amanz.my/2026560657

Walaupun pasaran keseluruhan mengalami penurunan, Samsung dan Apple muncul sebagai satu-satunya pengeluar utama yang mencatatkan pertumbuhan positif, manakala pengeluar dari China merekodkan penyusutan ketara.

Samsung kembali mendominasi pasaran global dengan pegangan 21.7 peratus selepas mengeluarkan 62.8 juta unit, meningkat 3.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Apple pula berada di tangga kedua dengan 61.1 juta unit atau 21.1 peratus pegangan pasaran, mewakili pertumbuhan 3.3 peratus.

Sebaliknya, Xiaomi mencatatkan kejatuhan pengeluaran paling besar iaitu 19.1 peratus, diikuti Oppo yang merosot 9.9 peratus dan Vivo susut 6.8 peratus.

IDC mengaitkan ketahanan Samsung dengan keupayaan syarikat itu memiliki kemudahan faundri RAM dan storan sendiri, manakala Apple mendapat perlindungan menerusi perjanjian bekalan jangka panjang, meskipun pada kos yang lebih tinggi.

Kekurangan bekalan komponen kritikal tersebut sebelum ini telah diramalkan pada penghujung tahun lalu dan dijangka terus menekan pengeluaran peranti mudah alih sepanjang tahun ini.

 

Must Watch Video