Skip to main content

Malaysia

Malaysia-Australia sokong seruan Pope Leo untuk keamanan sejagat

PUTRAJAYA, April 16 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim (right) speaks at a joint press conference with his Australian counterpart, Anthony Albanese at Perdana Putra Complex today.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Perdana Menteri hadir pada sidang media bersama sempena Lawatan Kerja Rasmi Albanese, di sini pada Khamis. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia dan Australia menyatakan sokongan terhadap seruan keamanan oleh Ketua Gereja Katolik, Pope Leo susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau dan rakan sejawatnya, Anthony Albanese, berkongsi penghormatan terhadap Pope Leo yang disifatkan sebagai menyuarakan suara hati nurani sejagat.

“Albanese seorang Katolik, saya seorang Muslim. Namun, kami berkongsi satu persamaan iaitu penghormatan yang tinggi terhadap Pope Leo di Vatican. Beliau menyuarakan hasrat untuk keamanan dan keadilan serta menuntut supaya segala kekejaman dihentikan.

“Saya fikir mana-mana individu yang rasional dan waras, termasuk saya sebagai seorang Muslim dan rakyat Malaysia secara umumnya, pasti menyokong pendirian yang diambil oleh Pope,” katanya menjawab soalan pemberita dalam sidang media bersama sempena Lawatan Kerja Rasmi Albanese, di sini pada Khamis.

Menurut Anwar, seruan Pope Leo untuk keamanan, keadilan dan ketertiban merupakan pendirian yang wajar disokong semua pihak tanpa dipersoalkan.

“Saya tidak melihat bagaimana seseorang boleh mempersoalkan, mempertikaikan atau menganggap kenyataan itu sebagai tidak munasabah atau tidak mesra. Ini adalah satu seruan yang mesti disokong oleh semua pihak,” kata Perdana Menteri lagi.

Sementara itu, Albanese menambah majoriti rakyat di kebanyakan negara mahukan keamanan, susulan kesan konflik global yang semakin dirasai di seluruh dunia.

Beliau berkata di Australia, masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama serta mereka yang tidak beragama diraikan dan dihormati, dan secara umumnya rakyat menyokong usaha ke arah keamanan.

“Tidak menghairankan apabila Pope Leo menyuarakan sokongan terhadap keamanan dan keadilan kerana majoriti rakyat di seluruh dunia mahukan keamanan.

“Kita juga melihat kesan konflik terhadap kehilangan nyawa orang awam yang tidak bersalah serta kesan ekonomi negatif yang besar kepada dunia,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa konflik di lokasi strategik seperti Selat Hormuz memberi kesan global, termasuk terhadap bekalan tenaga dan ekonomi dunia.

Sehubungan itu, Albanese menegaskan Australia akan terus menyokong usaha meredakan ketegangan serta menggalakkan penyelesaian konflik melalui dialog dan rundingan, bukannya tindakan ketenteraan.

Terdahulu, media melaporkan Pope Leo, yang mengetuai kira-kira 1.4 bilion umat Katolik di seluruh dunia, menggesa pihak yang memiliki kuasa dan mencetuskan peperangan supaya memilih keamanan.

Bagaimanapun, Donald Trump mengkritik pendirian Pope Leo mengenai konflik global, serta menuduhnya bersubahat dengan musuh politik.
 

Must Watch Video