AUSTIN : Gergasi teknologi Oracle dilapor memulakan proses pemberhentian ribuan pekerja di peringkat global menerusi e-mel pemecatan yang dihantar seawal jam 6 pagi semalam tanpa sebarang notis awal.
Dianggarkan antara 20,000 hingga 30,000 kakitangan atau bersamaan 18 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja global akan terjejas dalam pusingan pemberhentian terbaharu itu, lapor Amanz.
Menerusi maklum balas dalam e-mel berkenaan, Oracle menyatakan pengurangan tersebut dilakukan bagi memenuhi keperluan perniagaan serta sebahagian daripada perubahan organisasi syarikat yang lebih luas.
Walau bagaimanapun, langkah drastik itu dipercayai bertujuan menjimatkan kos sehingga AS$10 bilion (kira-kira RM40.3 bilion) bagi membiayai pelaburan besar syarikat dalam pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI).
Oracle ketika ini dilaporkan sedang menanggung hutang baharu berjumlah AS$58 bilion (kira-kira RM234 bilion) untuk membina infrastruktur AI, selain berdepan kejatuhan nilai saham melebihi 50 peratus sejak September tahun lalu.
Situasi ini menyaksikan pelaburan besar bagi menyokong projek pusat data AI OpenAI menjadi punca utama kehilangan pekerjaan dalam kalangan kakitangan manusia di syarikat tersebut.
Aliran pemberhentian kerja dalam sektor teknologi kebelakangan ini sering dikaitkan dengan peralihan tumpuan syarikat kepada automasi dan integrasi teknologi AI.