META — syarikat induk kepada Facebook, WhatsApp, Instagram dan Threads — dilapor sedang mempertimbangkan langkah pemberhentian sehingga 20% daripada jumlah pekerjanya.
Namun, jurucakap Meta menyifatkan laporan tersebut sebagai “spekulasi” dan menegaskan tiada keputusan muktamad setakat ini, lapor Amanz.
Jika direalisasikan, langkah itu bakal menjadi pengurangan tenaga kerja terbesar pernah dilaksanakan Meta sejak pusingan pemberhentian 2022–2023, yang menyaksikan lebih 21,000 pekerja terkesan, termasuk pemotongan 13% pada 2022.
Menurut laporan, potensi pengurangan ini dikaitkan dengan kos pembangunan dan pelaburan besar Meta dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
Meta kini sedang memperluas penggunaan AI untuk mengautomasikan proses dalaman dan meningkatkan kecekapan operasi.
Pengurusan kanan Meta dilapor meminta beberapa pasukan menyediakan pelan penjimatan kos, tetapi belum dimaklumkan skop dan masa pelaksanaannya.
Meta juga giat membangunkan model AI generatif baharu dan melabur besar dalam rangkaian pusat data sehingga 2028.
Baru‑baru ini syarikat berkenaan memperoleh Moltbook, platform AI sosial, dan membayar kira‑kira AS$2 bilion untuk mendapatkan syarikat AI Manus.
Pelaburan ini bertujuan mendukung strategi AI jangka panjang Meta dalam menghadapi persaingan dengan Google dan OpenAI.
Trend pengecilan tenaga kerja berkait pelaksanaan AI turut berlaku dalam syarikat teknologi global lain, termasuk Amazon dan Block, yang mengurangkan ribuan pekerja ketika beralih kepada automasi dan kecekapan berasaskan AI.