KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Isnin, didorong oleh harapan terhadap penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran walaupun keadaan masih amat tidak menentu.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.9510/9550 berbanding dolar AS daripada 3.9655/9700 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Menurut laporan berita, Setiausaha Negara AS Marco Rubio berkata pada Isnin bahawa mungkin terdapat berita ‘mungkin hari ini’ dalam rundingan antara Iran dan AS untuk menamatkan perang.
Rubio, yang dalam lawatan selama empat hari ke India berkata Presiden AS Donald Trump tidak akan membuat perjanjian yang merugikan dan AS akan memberikan setiap peluang kepada diplomasi untuk berjaya.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa susulan perkembangan terkini hubungan AS-Iran, tumpuan kini terarah kepada potensi perjanjian yang boleh membuka semula Selat Hormuz.
Beliau berkata asas makroekonomi Malaysia yang lebih baik terutamanya kedudukan akaun semasa yang lebih kukuh dan konsolidasi fiskal yang berterusan menunjukkan bahawa risiko negara menghadapi situasi defisit masih rendah.
Lebihan akaun semasa negara meningkat dengan ketara kepada RM15.2 bilion atau 3.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2026 daripada RM2.7 bilion pada suku keempat tahun lepas manakala defisit fiskal dijangka terus berkurangan kepada 3.5 peratus daripada KDNK tahun ini.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4860/4887 daripada 2.4925/4954 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.5998/6044 daripada 4.6012/6064, bagaimanapun rendah berbanding pound kepada 5.3311/3365 daripada 5.3245/3305 sebelum ini.
Mata wang tempatan mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0932/0966 daripada 3.0985/1023 minggu lepas dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 222.6/223.0 daripada 223.8/224.1 sebelum ini.
Mata wang tempatan, bagaimanapun, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1640/1816 daripada 12.1421/1611 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan menurun berbanding peso Filipina kepada 6.43/6.44 daripada 6.42/6.44 sebelum ini.
-- BERNAMA