Skip to main content

Teknologi

Grok perkenal ejen pengaturcaraan ‘Grok Build’ versi beta, kos langganan AS$300 sebulan

Sumber: AMANZ
Menerusi fungsi ejen AI berkenaan, pembangun perisian boleh menggunakannya untuk menulis kod, melakukan penyahpepijatan (debugging) serta membina aplikasi dengan pengawasan manusia minimum. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Syarikat kecerdasan buatan (AI), xAI, mengumumkan pengenalan ejen pengaturcaraan terbaharu dikenali sebagai Grok Build dalam versi beta, semalam.

Alat itu diperkenalkan sebagai pesaing kepada produk sedia ada dalam pasaran pembangunan perisian seperti Claude Code dan OpenAI Codex, lapor Amanz.

Bagaimanapun, akses kepada Grok Build buat masa ini dihadkan kepada pelanggan pelan SuperGrok Heavy, dengan kos langganan mencecah AS$300 (kira-kira RM1,180) sebulan.

Menerusi fungsi ejen AI berkenaan, pembangun perisian boleh menggunakannya untuk menulis kod, melakukan penyahpepijatan (debugging) serta membina aplikasi dengan pengawasan minimum manusia.

Memandangkan produk itu masih berada pada peringkat awal pengenalan, tahap keupayaan serta kualiti penulisan kodnya belum diuji sepenuhnya oleh komuniti pembangun global.

Sebelum ini, model AI Grok sering dinilai ketinggalan berbanding pesaing dari segi kecekapan pengaturcaraan, dan pengenalan Grok Build dilihat sebagai usaha merapatkan jurang tersebut.

Pelancaran ini turut mengukuhkan integrasi teknologi xAI dalam ekosistem syarikat milik Elon Musk, khususnya bagi menyokong keperluan pengaturcaraan sistem aeroangkasa dan satelit Starlink pada masa hadapan.

Must Watch Video