Skip to main content

Dunia

PBB lancar kempen kawalan perosak di Gaza meski sekatan Israel

61765445364_gazahujan.jpg
Kempen kawalan perosak PBB minggu depan akan memberi keutamaan kepada kawasan yang dipenuhi sisa buangan di dalam atau berhampiran kawasan kediaman, selain sekitar kemudahan penyimpanan makanan dan pasar awam. - Gambar/ AP

WASHINGTON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membawa masuk racun perosak ke Gaza pada Khamis bagi menangani peningkatan risiko berkaitan serangga dan ancaman lain, kata seorang jurucakap pada Jumaat, ketika rakan kemanusiaan memberi amaran bahawa tindak balas menyeluruh memerlukan pihak berkuasa Israel membenarkan kemasukan peralatan penting yang masih disekat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Semalam, PBB membawa masuk racun perosak ke Gaza bagi membantu menangani peningkatan risiko berkaitan serangga dan ancaman lain,” kata Timbalan Jurucakap PBB Farhan Haq pada taklimat harian, manakala kempen kawalan perosak dijadual bermula minggu depan.

Beliau berkata pasukan di Gaza sebelum ini banyak bergantung kepada bekalan bahan kawalan dalam kuantiti kecil yang diperoleh secara tempatan.

Menurut Haq, kempen kawalan perosak PBB minggu depan akan memberi keutamaan kepada kawasan yang dipenuhi sisa buangan di dalam atau berhampiran kawasan kediaman, selain sekitar kemudahan penyimpanan makanan dan pasar awam.

Beliau turut mengulangi gesaan rakan kongsi kemanusiaan supaya pihak berkuasa Israel membenarkan kemasukan peralatan penting bagi kerja-kerja mengalihkan runtuhan dan membersihkan bahan letupan aktif yang tidak meletup, selain memudahkan akses ke dua tapak tanah isian sanitari Gaza berhampiran sempadan wilayah itu.

Langkah itu penting bagi membolehkan tindak balas lebih menyeluruh terhadap risiko berkaitan tikus dan perosak, kata beliau.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video