Skip to main content

Teknologi

Google TV perkenal navigasi penuding, gantikan kawalan d-pad tradisional

Sumber: AMANZ
Sistem kawalan berpenuding ini memanfaatkan sensor giroskop yang terbina dalam alat kawalan jauh bagi menggerakkan kursor pada skrin. -Foto Amanz

PLATFORM sistem operasi Google TV bakal menyokong navigasi menggunakan alat kawalan jauh berpenuding (pointer), sekali gus menambah baik kaedah kawalan sedia ada yang berasaskan butang arah (d-pad).

Langkah itu dijangka menggantikan kaedah navigasi tradisional yang digunakan sejak era Android TV, lebih sedekad lalu sebelum ia dijenamakan kepada Google TV, lapor Amanz.

Sistem kawalan berpenuding ini memanfaatkan sensor giroskop yang terbina dalam alat kawalan jauh bagi menggerakkan kursor pada skrin.

Ciri tersebut dijangka memudahkan pengguna mengendalikan antara muka, khususnya bagi aplikasi televisyen yang mempunyai susunan menu kompleks.

Sokongan navigasi ini akan diperkenalkan kepada pengguna global menerusi kemas kini sistem operasi Google TV akan datang.

Selain alat kawalan fizikal, kemas kini itu turut memberi kelebihan kepada pengguna yang menggunakan telefon pintar sebagai alat kawalan Google TV.

Sebagai persediaan, Google telah menggesa pembangun aplikasi untuk mengemas kini serta mengoptimumkan aplikasi mereka agar serasi dengan fungsi penuding ini.

Pengenalan ciri ini turut dilihat sebagai usaha Google meningkatkan daya saing dalam pasaran sistem operasi TV pintar.

Sebelum ini, platform lain seperti webOS milik LG telah lama menggunakan sistem kawalan berpenuding menerusi peranti Magic Remote.

 

Must Watch Video

Advertisement