Skip to main content

Teknologi

Epic Games buang 1,000 kakitangan, beberapa mod Fortnite ditamatkan

Epic Games Membuang 1000 Kakitangan – Beberapa Mod Fortnite Ditamatkan -- amanz
Kemerosotan ini dikaitkan dengan ketiadaan Fortnite di platform App Store dan Play Store susulan pertikaian berpanjangan mengenai sistem pembelian dalam aplikasi (IAP) bersama Apple serta Google. -Foto Amanz

CARY: Syarikat pembangun permainan video terkemuka, Epic Games, mengumumkan pemberhentian lebih 1,000 kakitangan semalam ekoran penurunan ketara jumlah pemain Fortnite serta bebanan kos guaman yang tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Epic Games, Tim Sweeney, dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa langkah drastik itu terpaksa diambil selepas perbelanjaan syarikat mula melebihi pendapatan sejak tahun 2025, lapor Amanz.

Kemerosotan ini dikaitkan dengan ketiadaan Fortnite di platform App Store dan Play Store susulan pertikaian berpanjangan mengenai sistem pembelian dalam aplikasi (IAP) bersama Apple serta Google.

Selain pengurangan tenaga kerja, Epic Games turut melaksanakan pemotongan kontrak, pengurangan kos pemasaran, serta pembekuan pengambilan jawatan baharu yang dijangka mampu menjimatkan syarikat sehingga AS$500 juta (sekitar RM2 bilion).

Kekalahan dalam kes mahkamah menentang Apple dan penyelesaian luar mahkamah dengan Google baru-baru ini turut dilaporkan memberi kesan kewangan yang besar kepada syarikat.

Sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula bagi mengurangkan kos operasi, tiga mod permainan di dalam Fortnite iaitu Rocket Racing, Ballistic, dan Festival Battle Stage telah ditamatkan secara rasmi.

Walau bagaimanapun, Epic Games menegaskan akan terus memberikan fokus utama kepada pembangunan kandungan baharu bagi Fortnite serta mempercepatkan pembangunan enjin grafik generasi seterusnya, Unreal Engine 6, melalui Unreal Editor for Fortnite (UEFN).

Must Watch Video