Skip to main content

Teknologi

Disney tarik diri daripada pelaburan AS$1 bilion selepas OpenAI hentikan Sora

Disney Batalkan Pelaburan $1 bilion Ke Dalam OpenAI -- amanz
Penamatan perkhidmatan Sora secara tiba-tiba telah meranapkan rancangan integrasi teknologi berkenaan dalam ekosistem kandungan Disney. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Gergasi hiburan global, Disney, dilapor telah membatalkan pelaburan bernilai AS$1 bilion (kira-kira MYR 2.76 bilion) dalam OpenAI susulan keputusan mengejut firma kecerdasan buatan (AI) itu untuk menghentikan operasi model penjanaan video, Sora, berkuat kuasa hari ini.

Pelaburan yang diumumkan pada Disember tahun lalu itu pada asalnya bertujuan sebagai sebahagian daripada penyelesaian isu pelanggaran hak cipta, selain membolehkan pelesenan watak-watak ikonik Disney untuk dijana secara rasmi melalui platform tersebut, lapor Amanz.

Bagaimanapun, penamatan perkhidmatan Sora secara tiba-tiba telah meranapkan rancangan integrasi teknologi berkenaan dalam ekosistem kandungan Disney.

Walaupun Sora mencetuskan fenomena global dengan jumlah pengguna yang tinggi, OpenAI dilaporkan gagal menukar populariti tersebut kepada pendapatan langganan yang mampan.

Firma itu dikatakan menanggung kerugian operasi sehingga AS$15 juta sehari akibat kos pemprosesan video yang dijana secara percuma, menjadikan Sora produk pertama yang dihentikan oleh OpenAI atas faktor kewangan.

Keputusan ini juga dipengaruhi oleh tekanan ekonomi global kesan konflik di Asia Barat serta keperluan OpenAI untuk mengalihkan dana besar bagi pembinaan pusat data baharu.

Laporan industri minggu ini menunjukkan OpenAI kini akan menumpukan sepenuhnya kepada segmen pelanggan perusahaan dan aplikasi produktiviti bagi memastikan kelangsungan aliran tunai syarikat.

Must Watch Video