Skip to main content

Malaysia

16 rakyat Malaysia dalam misi GSF ditahan iof berhampiran Cyprus - SNCC

SEPANG, 15 Mei -- Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di SNCC hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kapal mereka dihampiri secara agresif oleh IOF ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus. - Gambar fail/BERNAMA

SEPANG: Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan sembilan kapal Global Sumud Flotilla (GSF) yang dinaiki 16 rakyat Malaysia telah dipintas tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) setakat 8 malam waktu Malaysia.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kapal mereka dihampiri secara agresif oleh IOF ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.

"Ketika insiden intimidasi berlaku, flotila berada di kedudukan kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di laluan perairan antarabangsa yang diiktiraf di bawah undang-undang maritim seperti termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) dan berada di luar kawasan sekatan mana-mana negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini hari ini.

Antara rakyat Malaysia yang ditahan IOF ialah Zainal Rashid Ahmad (menaiki kapal Amanda), Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella) serta Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus).

Turut ditahan S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Dr Syakirin Muhamed Senin (Ferluto), Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari (Bianca ITA), Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim (Gotico) serta Norazman Ishak (Abodes).

Selain itu, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa dan Osman Zolkifli (Themis) serta Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef).

Sani Araby juga berkata SNCC telah memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memohon campur tangan Kerajaan Malaysia untuk mendesak Kesatuan Eropah, Turkiye, Sepanyol serta negara lain untuk bertindak dan mengecam pencabulan terhadap misi kemanusiaan aman itu.

Beliau turut mendakwa tahanan GSF dijangka diletakkan di "penjara atas kapal" sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod untuk proses dokumentasi dan pengusiran.

"Kapal penjara itu adalah kapal tentera yang boleh memuatkan ramai orang dan dijadikan sebagai sel tahanan," katanya.

Sani Araby berkata penjara atas kapal adalah helah Israel untuk menahan peserta GSF dalam tempoh lebih lama dan bagi mengelakkan tekanan undang-undang antarabangsa.

"Saya menjangkakan mereka akan dibawa ke kapal tahanan itu... kalau dibawa terus ke Ashdod, mereka terikat dengan undang-undang baharu yang memerlukan tahanan dilepaskan dalam tempoh 24 jam," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video