ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 18 Mei 2026.
1. Ketua AMK Cabang Titiwangsa Fathin Amelina umum keluar PKR
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Titiwangsa dan Pengarah Komunikasi AMK Wilayah Persekutuan, Fathin Amelina Fazlie, mengumumkan peletakan jawatan dan keluar PKR berkuat kuasa hari ini.
2. Suspek tikam wanita direman 7 hari
Suspek dalam kes tikam di leher seorang wanita dalam sebuah kereta di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas, dekat Alor Setar, direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
3. Rafizi, Nik Nazmi hantar surat letak jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat
Kedua-duanya secara rasmi telah menghantar surat pemakluman peletakan jawatan masing-masing kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
4. Kosongkan kerusi: "Kasihan kepada rakyat..." - Azalina
Mana-mana wakil rakyat perlu mengambil kira kepentingan pengundi sebelum membuat keputusan mengosongkan kerusi yang disandang.
5. Mahkamah dengar rakaman Zara Qairina luah rasa sayang kepada ibu
Rakaman audio berkenaan antaranya memaparkan Zara Qairina meluahkan rasa sayang dan rindu kepada ibunya, selain mengadu kehilangan wang.
6. 'Kurang ajar rejim jahat' - PM desak pembebasan segera aktivis GSF
Malaysia menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera semua aktivis selepas kapal misi kemanusiaan, Global Sumud Flotila dipintas dan ditahan oleh rejim Zionis Israel pada petang Isnin.
7. 16 rakyat Malaysia dalam misi GSF ditahan iof berhampiran Cyprus - SNCC
Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kapal mereka dihampiri secara agresif oleh IOF ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
8. Bekas PTD, isteri terima 45 dokumen kes pengubahan wang haram
Sebanyak 45 jenis dokumen termasuk rakaman percakapan dan penyata akaun bank diserahkan kepada pihak pembelaan dalam kes bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar @ Kamaruddin yang menghadapi pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
9. PM Anwar tunai janji, balas surat adik Nanang, hadiahkan buku
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan janjinya untuk membalas surat adik Nanang, dari Pulau Banggi, Sabah, dengan mengutuskannya berserta dua buah buku menerusi pasukan beliau yang berkunjung ke kediaman kanak-kanak itu.
10. Sindiket simpan karkas babi bersama daging lain tumpas, rampasan cecah RM12.4 juta
Sindiket yang menjadikan sebuah gudang sebagai lokasi penyimpanan karkas babi bersama pelbagai daging sejuk beku lain sebelum dipotong dan dibungkus semula di Kajang berjaya dibongkar pihak berkuasa baru-baru ini.