Skip to main content

Teknologi

China haramkan skrin sentuh bagi fungsi keselamatan, larang stereng 'yoke' mulai 2027

Foto: AMANZ
MIIT menetapkan bahawa fungsi penting seperti lampu isyarat membelok, lampu kecemasan, penukaran gear dan panggilan kecemasan tidak lagi boleh dikawal melalui skrin sesentuh. -Foto Amanz

CHINA menguatkuasakan dua peraturan keselamatan automotif baharu yang melarang penggunaan skrin sesentuh bagi fungsi keselamatan utama serta mengharamkan stereng separuh atau yoke bermula 1 Jan 2027.

Peraturan itu terkandung dalam draf piawaian wajib yang diumumkan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China.

MIIT menetapkan bahawa fungsi penting seperti lampu isyarat membelok, lampu kecemasan, penukaran gear dan panggilan kecemasan tidak lagi boleh dikawal melalui skrin sesentuh.

Setiap fungsi keselamatan itu mesti dikendalikan menggunakan butang atau suis fizikal dengan keluasan minimum 10mm x 10mm supaya pemandu dapat mengaktifkannya tanpa menavigasi menu atau ikon kecil di skrin.

Peraturan baharu ini menyasarkan trend rekaan kabin berasaskan skrin yang dipelopori model seperti Tesla, BYD dan Xiaomi.

MIIT menegaskan penggunaan skrin bagi fungsi kritikal boleh mengalih perhatian pemandu, terutama apabila ikon terletak dalam submenu atau respons paparan mengalami lengah.

Dalam langkah berkaitan, China turut mengharamkan stereng jenis yoke yang popular dalam beberapa model Tesla dan sesetengah kenderaan mewah.

Data keselamatan dalaman menunjukkan 46 peratus kecederaan pemandu berlaku akibat hentakan pada mekanisme stereng.

Reka bentuk yoke meningkatkan risiko kerana ketiadaan rim bulat yang biasanya menyerap sebahagian impak dan mengurangkan pergerakan badan ke arah papan pemuka.

Selain itu, stereng yoke tidak dapat memenuhi syarat ujian impak baharu yang mewajibkan 10 titik ujian di seluruh rim, termasuk bahagian atas — satu bahagian yang tiada dalam reka bentuk yoke.

MIIT juga menilai penyebaran beg udara bagi stereng jenis itu sebagai kurang konsisten berbanding stereng bulat konvensional.

Larangan ini menyusul selepas China mengharamkan pemegang pintu tersorok yang dikaitkan dengan insiden mangsa terperangkap dalam kemalangan.

Piawaian baharu akan menggantikan piawaian 2011, dan pengeluar yang telah menerima kelulusan sebelum ini diberikan tempoh 13 bulan untuk menyesuaikan reka bentuk sebelum tarikh kuat kuasa. -Amanz

Must Watch Video