Skip to main content

Malaysia

Lelaki maut tercampak, MPV terbakar selepas terbabas langgar pokok

Seorang lelaki maut dipercayai tercampak selepas MPV dipandunya terbabas dan terbakar di Kampung Wakaf Raja, Pasir Puteh pada Isnin. Foto:JBPM
Seorang lelaki maut dipercayai tercampak selepas MPV dipandunya terbabas dan terbakar di Kampung Wakaf Raja, Pasir Puteh pada Isnin. Foto:JBPM. Gambar kecil: Kang Kheng An

PASIR PUTEH: Seorang lelaki maut dipercayai tercampak keluar melalui cermin hadapan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas dan terbakar di Kampung Wakaf Raja di sini pada Isnin.

Mangsa, Kang Kheng An, 51, dari Kampung Berangan, Tumpat  meninggal dunia di lokasi kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II Hasmeejohn Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4 pagi.

"Setibanya di lokasi, kami mendapati benar terdapat kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan.

"MPV jenis Toyota Estima yang dipandu mangsa terbabit dipercayai telah terbabas ketika memotong kenderaan lain kemudian melanggar pokok sebelum terbalik dan terbakar," katanya semasa dihubungi.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal di lokasi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ujarnya, dua lagi pemandu kenderaan yang terlibat iaitu Perodua Myvi dan Toyota Camry tiada sebarang kecederaan.

Hasmeejohn memberitahu, seramai tujuh anggota dikerahkan ke sana untuk memadam kebakaran kenderaan tersebut serta membersihkan kawasan kemalangan.

"Operasi terkawal sekitar jam 5.03 pagi," katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video