PASARAN unit pemprosesan pusat (CPU) bagi komputer peribadi (PC) kini berhadapan krisis bekalan yang meruncing berikutan lonjakan permintaan luar biasa daripada sektor pusat data kecerdasan buatan (AI).
Kekurangan bekalan global itu dilaporkan mengakibatkan peningkatan harga mendadak bagi perkakasan baharu termasuk telefon pintar, tablet dan komputer disebabkan kekangan komponen storan serta memori capaian rawak (RAM).
Menurut laporan Nikkei Asia, pasaran CPU PC dan pelayar kini mengalami gangguan bekalan yang ketara, sekali gus menyaksikan purata harga meningkat sehingga 15 peratus.
Gergasi teknologi Intel dan AMD dilapor telah memaklumkan kepada pelanggan mengenai pelarasan harga bagi semua siri CPU masing-masing yang bermula Mac bagi Intel, manakala AMD menyusul pada April.
Situasi tersebut turut menjejaskan tempoh menunggu pesanan yang kini meningkat kepada lapan hingga 12 minggu berbanding hanya satu hingga dua minggu sebelum ini, manakala kes lebih serius melibatkan tempoh sehingga enam bulan.
Situasi ini diburukkan lagi apabila kedua-dua syarikat mula mengutamakan pengeluaran cip untuk pelayar bagi memenuhi tuntutan teknologi AI yang sedang berkembang pesat, sekali gus mengurangkan kuota pengeluaran untuk segmen pengguna biasa.
AMD ketika ini dilaporkan beroperasi pada kapasiti maksimum di kilang TSMC, manakala Intel pula masih bergelut dengan isu peratusan hasil (yield rate) yang rendah di kilang fabrikasi milik mereka sendiri.
Penganalisis industri menjangkakan tekanan harga ini akan berterusan sekiranya permintaan pusat data AI tidak menunjukkan tanda-tanda merosot dalam masa terdekat.