Skip to main content

Teknologi

Apple iPhone 18 Pro bakal tampil dengan Dynamic Island lebih kecil?

Sumber: AMANZ
Kesahihan rekaan baharu ini hanya akan terjawab apabila siri iPhone 18 Pro dilancarkan secara rasmi pada September depan, dengan laporan mengesahkan Apple kini dalam fasa akhir pembangunan peranti tersebut. -Foto Amanz

CUPERTINO: Apple dilapor sedang membangunkan rekaan baharu untuk siri iPhone 18 Pro yang bakal menampilkan Dynamic Island lebih kecil berbanding model terdahulu, lapor Amanz.

Berdasarkan imej panel skrin yang tertiris minggu ini, gergasi teknologi itu didakwa berjaya mengecilkan ruang kamera berkenaan sehingga sekitar 35 peratus, hasil penggunaan teknologi kamera TrueDepth di bawah skrin (UDC) yang menjadikan sebahagian sensor lebih tersorok dan tidak memenuhi paparan.

Teknologi sensor bawah skrin bukan perkara baharu dalam industri, memandangkan Samsung telah menggunakannya dalam siri Galaxy Z Fold beberapa tahun lalu.

Namun, ini merupakan kali pertama Apple dilihat mengaplikasikan pendekatan sama bagi mengecilkan sistem Face ID mereka.

Dynamic Island sebelum ini diperkenalkan menerusi iPhone 14 Pro bagi menggantikan takuk besar yang digunakan sejak pelancaran iPhone X.

Walaupun rekaannya lebih kecil, ia masih dianggap besar berbanding lubang kamera pada kebanyakan peranti Android.

Kesahihan rekaan baharu ini hanya akan terjawab apabila siri iPhone 18 Pro dilancarkan secara rasmi pada September depan, dengan laporan mengesahkan Apple kini dalam fasa akhir pembangunan peranti tersebut.

Walaupun pengguna sebelum ini kurang mengambil kira saiz potongan kamera kerana sudah terbiasa dengan estetika rekaan Apple, pengurangan sehingga sepertiga dijangka memberi pengalaman paparan lebih luas dan bersih.

 

Must Watch Video