MALE: Pasukan pakar menyelam antarabangsa tiba di Maldives bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan tragedi yang meragut enam nyawa, termasuk seorang anggota tentera tempatan.
Insiden berlaku pada Khamis lalu apabila lima penyelam warga Itali dilaporkan maut selepas terperangkap dalam gua marin pada kedalaman kira-kira 60 meter di perairan terpencil Vaavu Atoll.
Seorang penyelam penyelamat dari Pasukan Pertahanan Negara Maldives (MNDF), Sarjan Staf Mohamed Mahudhy, turut meninggal dunia di hospital pada Sabtu akibat penyakit penyahmampatan ketika operasi dijalankan.
Ketua Jurucakap Kerajaan Maldives, Mohamed Hussain Shareef berkata tiga pakar selam gua dari Finland telah tiba di negara itu bagi menyertai operasi pencarian.
Menurut beliau, operasi tersebut turut diselaras bersama Rangkaian Amaran Penyelam (DAN) dan Pasukan Pengawal Pantai Maldives.
“Kami amat berdukacita dengan kehilangan warga Itali ini dan juga penyelam kami sendiri. Kami kini disatukan dalam kesedihan,” katanya kepada AFP.
Beliau berkata beberapa negara termasuk United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat turut menawarkan bantuan bagi menyokong operasi yang berdepan keadaan laut mencabar.
Jenazah Sarjan Staf Mahudhy telah disemadikan dengan penghormatan ketenteraan pada Sabtu, dengan kehadiran pegawai tertinggi kerajaan.
Universiti Genoa dalam pada itu mengesahkan mangsa termasuk Profesor Ekologi Marin, Monica Montefalcone, anak perempuannya, serta dua penyelidik universiti berkenaan.
L’Università di Genova esprime profondo cordoglio per l’improvvisa e tragica scomparsa di Monica Montefalcone, della figlia Giorgia Sommacal, di Muriel Oddenino e di Federico Gualtieri. https://t.co/hCtkkT8BZF
— Università di Genova (@UniGenova) May 14, 2026
Susulan insiden itu, kerajaan Maldives menggantung lesen operasi kapal persiaran MV Duke of York yang membawa kumpulan tersebut kerana didakwa melanggar had kedalaman menyelam rekreasi 30 meter.