Skip to main content

Sukan

Tiada masalah buat Abdul Latif untuk beraksi di Sukan SEA - Khairy

61473777629_AbdulLatifRomly.jpg
Menteri Belia dan Sukan  Khairy Jamaluddin tidak mempunyai masalah untuk memberi 'lampu hijau'  kepada pemenang pingat emas acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik, Abdul Latif Romly, untuk beraksi dalam temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Katanya atlet berkenaan bersaing dengan atlet normal dan meraih emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, Julai lepas.

"Sekiranya dia dipilih dan layak (beraksi dalam  Sukan SEA), saya tidak ada apa-apa halangan," katanya ketika diminta mengulas mengenai hasrat Abdul Latif untuk beraksi dalam Sukan SEA 2017.

Menurut Khairy, ketika menghubungi Abdul Latif pada Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil,  beliau meminta atlet muda itu memberi tumpuan kepada rekod kebangsaan dan bukan hanya kepada rekod Sukan Paralimpik.

Katanya atlet berusia 19 tahun itu mempunyai kemampuan untuk memecah rekod kebangsaan.

"Kalau tak silap saya, lagi 22 sentimeter lagi untuk menyamai rekod kebangsaan. Jika dia dapat mengatasi rekod kebangsaan,  saya rasa dia selepas ini boleh beri tumpuan kepada kejohanan-kejohanan melibatkan atlet normal," katanya.

Secara merit, jarak lompatan Abdul Latif di Sukan Paralimpik Rio itu sudah melepasi had kelayakan untuk beraksi di  Sukan SEA, selepas catatan rekod dunia Paralimpik 7.60m yang dilakukannya mengatasi had kelayakan 7.54m.

Rekod kebangsaan dalam acara lompat jauh lelaki masih dipegang oleh Josbert Tinus dengan jarak 7.88m yang direkodkan pada 2007 di Bangkok.

Catatan jarak 7.60m Abdul Latif telah mengatasi rekod  remaja kebangsaan (Bawah 20 tahun) iaitu 7.46m milik Pang Li Chong di Ipoh, Perak pada 2011.

Pingat emas lompat jauh T20 menjadi milik Latif terhasil  menerusi lompatan emasnya dengan catatan 7.60m, yang turut memecahkan rekod Paralimpik dunia, Ahad lepas.

Dia turut mencipta sejarah tersendiri menerusi tiga rekod dunia  yang dilakukan ketika lompatan kedua iaitu 7.47m, lompatan  ketiga 7.54m dan 7.60m dalam lompatan kelima. -- BERNAMA

Must Watch Video