Skip to main content

Sukan

Sukan SEA: Arina dan Dayah ke final

41765510900_tbseagamesskate.jpg
ATLET papan selaju negara, Arina Fikri Rahman dan Nurhidayah Mohd Syafiq, berjaya melangkah ke final acara bowl pada temasya Sukan SEA di Thailand.

Dalam saingan yang berlangsung di perkarangan Stadium Rajamangala, Bangkok, pada Khamis, Arina, 34, menamatkan pusingan kelayakan bowl wanita di tempat kelapan dengan catatan mata terbaik 34.07.

Sementara itu, Nurhidayah atau lebih dikenali sebagai Dayah, turut mengesahkan slot ke final selepas menduduki tempat kelapan bowl wanita dengan mata terbaik 34.86.

Dua lagi wakil negara, Ahmad Adlan Anaqi dan Nur Tia Adelia, terkandas di pusingan kelayakan selepas masing-masing menamatkan saingan di tempat kesembilan.

Bagi kategori bowl lelaki, saingan kelayakan didahului wakil Filipina, Jericho Francisco Jr, diikuti dua peserta tuan rumah, Konwit Ketkaeo dan Brian Upapong, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Dalam saingan bowl wanita, Mazel Paris Alegado dari Filipina berada di tempat pertama mengatasi pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018, Nyimas Bunga Cinta dari Indonesia di tempat kedua, diikuti seorang lagi atlet Filipina, Elizabeth Amador, ketiga.

Final acara bowl dijadual berlangsung Sabtu, bermula jam 5 petang waktu Thailand.

Sementara itu, cabaran negara dalam acara street skateboarding bermula jam 5 petang Jumaat di Kompleks Sukan Ekstrem Hua Mark, Bangkok.

Malaysia diwakili Mer Nullah “Momo” Khan, 15, dan Mahathir Nor Daniel, 16, bagi kategori lelaki, manakala Adelia Haziqah, 12, dan Alya Zahra, 15, akan beraksi dalam kategori wanita.




Must Watch Video