KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Beregu Lelaki Negara Herry Iman Pierngadi mengakui pasangan utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik bergelut menandingi tempo permainan pantas dan kekuatan dimiliki Liang Wei Keng-Wang Chang dari China, sebelum tersingkir pada saingan suku akhir Terbuka Singapura 2026 semalam.
Aaron-Wooi Yik, yang diletakkan selaku pilihan kedua terpaksa akur tewas 15-21, 15-21, kepada pilihan kelima kejohanan Super 750 itu, sekali gus menyaksikan impian mereka mempertahankan gelaran dimenangi tahun lepas berkecai.
Herry berkata pasangan nombor dua dunia itu juga dilihat melakukan banyak kesilapan sepanjang perlawanan di Stadium Tertutup Singapura, selain corak permainan mereka juga berjaya dibaca lawan.
“Menurut saya Aaron-Wooi Yik sudah tewas dari segi tenaga dan kepantasan. Situasi ini menyebabkan mereka sering berada dalam keadaan tertekan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Keputusan tersebut menyaksikan badi kekalahan juara dunia 2022 kepada pasangan nombor lima dunia itu berterusan apabila tewas 11 kali dalam 14 pertemuan setakat ini.
Dalam pada itu, Herry berkata beliau terkilan melihat pasangan muda Kang Khai Xing-Aaron Tai tidak berjaya mengekalkan kelebihan dimiliki pada set pertama sebelum tumbang kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India, 19-21, 21-17, 21-13, pada satu lagi aksi suku akhir semalam.
“Set pertama sudah menang, set kedua pula mereka nampak unggul seketika namun tidak konsisten sehingga melakukan banyak kesilapan sekali gus lawan menggunakan kesempatan untuk memberi tekanan.
“Set ketiga ternyata Khai Xing-Aaron sudah kehilangan banyak tenaga dan kepantasan dan pasangan India pula cukup baik dan yakin,” katanya.
Walaupun tersingkir pada saingan suku akhir, Khai Xing-Aaron berpeluang membalas dendam kekalahan kepada Satwiksairaj-Rankireddy apabila dijadual bertemu semula pada pusingan pertama Terbuka Indonesia 2026 di Jakarta dari 2-7 Jun ini.
Aaron-Wooi Yik pula akan meneruskan cabaran mereka pada kejohanan sama menentang rakan senegara Wan Junaidi Wan Arif-Yap Roy King.
-- BERNAMA