KUALA LUMPUR: Kesinambungan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berpotensi memberi kemenangan besar kepada Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Teknologi Mara (UTM), Mazlan Ali keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini turut menyaksikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan apabila wujud kerjasama kedua-dua pihak.
“Seperti di PRK Nenggiri dan Kuala Kubu Bharu, berdasarkan score sheet yang dilihat terdapat perubahan sokongan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang pernah tewas semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
“DAP menang balik atas faktor sokongan UMNO ketika itu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mazlan berpandangan UMNO turut berisiko kalah jika bergerak sendirian ataupun solo akibat kesan perpecahan undi pada piihan raya.
“Jika penjajaran PH bersama dengan BN kemungkinan akan menang besar,” katanya.
Beliau turut mengimbau ketika UMNO berjaya menang selesa semasa PRN Melaka pada 2021 dan Johor pada 2022 akibat peratusan keluar mengundi sekitar 50 peratus.
“Namun semasa PRU 2023 apabila peratusan keluar mengundi sekitar 75 peratus, UMNO hanya dapat 34 peratus sahaja,” jelasnya.
Pada masa sama, Mazlan berpendapat prestasi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak mengambil alih pentadbiran negara pada 2022, menjadi antara faktor yang mengukuhkan kedudukannya dalam landskap politik semasa.
Jelasnya, pelbagai petunjuk ekonomi menunjukkan perkembangan positif termasuk pengukuhan nilai ringgit, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) serta pertumbuhan nilai dagangan negara yang direkodkan dalam suku pertama tahun ini.
“Sejak Januari hingga April, nilai perdagangan Malaysia mencecah lebih RM1.127 trilion, antara yang terbesar di Asia Tenggara.
“Pada pendapat saya ini bukan lagi kategori negara membangun namun memasuki kategori negara perindustrian baharu (NIC),” katanya.
Menurut Mazlan berdasarkan prestasi yang telah tercatat ini mampu menarik minat segmen pengundi atas pagar yang semakin bertambah untuk menyokong parti-parti politik di blok kerajaan.
“Pengundi atas pagar kebanyakannya adalah orang muda yang ingin menyara diri serta merupakan graduan yang berbakat.
“Persekitaran ekonomi yang bagus ini akan menarik peluang kepada mereka mendapatkan pekerjaan dalam industri,” katanya lagi.
Mazlan turut berpendapat keadaan itu dapat melonjakkan jumlah kerusi untuk dimenangi oleh Pakatan Harapan namun sukar untuk meraih majoriti selesa.