KUALA LUMPUR: Insiden yang berlaku semasa perlawanan regu berpasukan antara Malaysia dan Thailand pada Piala Dunia Sepak Takraw 2026, perlu ditangani menerusi proses yang ditetapkan di bawah Perlembagaan, Undang-Undang Permainan, Peraturan Pertandingan dan Prosedur Tatatertib Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).
Dalam satu kenyataan, ISTAF memaklumkan bahawa perkara tersebut wajar diselesaikan melalui mekanisme yang telah ditetapkan oleh badan induk antarabangsa sukan sepak takraw itu.
Persekutuan itu juga mengakui wujudnya perbincangan meluas, ulasan, pandangan serta laporan media berkaitan insiden yang berlaku semasa acara regu berpasukan dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa baru-baru ini.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) Thana Chaiprasit mengulangi penegasan bahawa persatuan tersebut menghormati peranan ISTAF sebagai badan induk antarabangsa sepak takraw serta mengiktiraf kuasa badan tersebut untuk meneliti dan membuat keputusan berhubung perkara yang timbul daripada pertandingan yang mendapat pengiktirafan atau kelulusan ISTAF itu.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kebebasan, profesionalisme dan integriti proses semakan yang dijalankan oleh ISTAF.
“TAT yakin bahawa semua fakta, laporan, bukti dan representasi yang berkaitan akan dipertimbangkan selaras dengan prinsip keadilan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung ISTAF Datuk Abdul Halim Kader mengulangi komitmen persekutuan itu untuk memastikan semua perkara diteliti secara bebas dan berkecuali.
Beliau berkata, persekutuan itu kekal komited dalam memelihara integriti sukan sepak takraw, melindungi kepentingan semua persatuan anggota serta memastikan setiap setiap pihak diberikan peluang yang adil untuk didengar.
Kedua-dua pertubuhan itu turut menyeru semua pihak berkepentingan, pegawai, atlet, penyokong dan pengamal media supaya tidak membuat spekulasi, andaian atau kesimpulan awal selagi proses semakan masih berjalan.
“Adalah penting bagi integriti proses ini dihormati dan sebarang kenyataan yang tidak perlu, yang boleh menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam komuniti sepak takraw antarabangsa dielakkan,” menurut kenyataan itu.
Bagi memperkukuh lagi ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan terhadap proses berkenaan, Abdul Halim akan membentangkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Eksekutif ISTAF dalam mesyuarat yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Beliau berkata langkah itu akan membolehkan Jawatankuasa Eksekutif mendapat maklumat lengkap mengenai fakta dan perkembangan berkaitan perkara tersebut serta memastikan sebarang tindakan susulan dilaksanakan mengikut prosedur, prinsip tadbir urus dan peraturan ISTAF.
-- BERNAMA