KUALA LUMPUR: Legenda tenis dunia dan bekas pemenang pingat emas acara perseorangan Sukan Olimpik 1996 Atlanta, Andre Agassi yakin sukan pickleball yang semakin popular di peringkat global berpotensi dimasukkan dalam temasya Sukan Olimpik pada masa depan.
Bekas bintang tenis nombor satu dunia itu yang turut mencuba sukan berkenaan selepas bersara daripada tenis berkata daya tarikan global serta aksesibiliti pickleball menjadikannya calon kuat untuk dipertandingkan di temasya berprestij itu.
“Menjadi sebahagian daripada Olimpik akan menjadi sesuatu yang luar biasa. Saya benar-benar berharap untuk melihatnya. Kita sudah mula melihat perkembangan ini dan ramai yang kini lebih memahami kedudukan serta evolusi sukan ini,” katanya ketika hadir pada Jelajah Joola Titans 2026 di Stadium Juara Bukit Kiara, di sini hari ini.
Menurutnya pickleball bukan sahaja telah dipertandingkan secara profesional dan sebagai acara pertunjukan, malah semakin berkembang di pelbagai negara dengan potensi pertumbuhan yang amat mengagumkan.
Jelajah ini turut menampilkan pemain pickleball ranking teratas, Bens Johns.
Bekas juara lapan kali Grand Slam berusia 55 tahun itu berkata sukan pickleball ini juga mendapat momentum kukuh di rantau Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan peluangnya menjadi sukan bertaraf global.
“Setiap negara mempunyai hak untuk menambah sukan apabila menjadi tuan rumah Olimpik. Kita pernah lihat perkara ini sebelum ini, contohnya breakdancing pada Olimpik Musim Panas 2024.
“Saya percaya ia adalah matlamat yang realistik dan mampu dicapai dan ia sememangnya layak untuk berada di situ,” katanya.
-- BERNAMA