Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Kesetiaan adalah akar, tanpanya negara tidak bertahan lama

SHAH ALAM, 3 April -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyantuni penjawat awam Negeri Selangor pada Majlis Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 hari ini._BERNAMA
Shamsul Azri menyantuni penjawat awam Negeri Selangor pada Majlis Jelajah Taat Setia MADANI Peringkat Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 baru-baru ini. - Gambar Bernama

“Perkhidmatan awam tidak digerakkan oleh arahan semata-mata. Ia digerakkan oleh kepercayaan. Dan kepercayaan itu hanya wujud apabila kesetiaan dilaksanakan secara konsisten, bukan bermusim, bukan bersyarat.”
— Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara

Dalam pengurusan negara, kepercayaan ditentukan oleh pelaksanaan kerana di situlah kredibiliti bukan diuji tetapi di buktikan.

Ketua Setiausaha Negara dalam program Jelajah Taat Setia MADANI di Selangor pada hari Jumaat 3 April 2026 menegaskan bahwa taat setia adalah disiplin profesional yang memastikan setiap keputusan dilaksanakan dengan standard yang sama,tanpa kompromi, tanpa variasi mengikut individu.

Taat setia: Dari nilai moral kepada disiplin strategik

Dalam wacana tradisional, taat setia sering dibingkai sebagai nilai moral, sesuatu yang berkait dengan kesopanan, kesetiaan simbolik, atau budaya organisasi. Namun dalam konteks negara moden, taat setia perlu difahami sebagai 'strategic discipline'. Dalam konteks perkhidmatan awam, taat setia bermaksud;

 •    Kesetiaan kepada Perlembagaan dan institusi
 •    Kesetiaan kepada keputusan dasar yang sah
 •    Kesetiaan kepada amanah yang dipegang, walaupun tanpa pengawasan

Lebih penting lagi, taat setia adalah keupayaan sistem untuk memastikan bahawa setiap individu di dalamnya bertindak dalam arah yang sama tanpa perlu dipaksa setiap masa. Ini adalah asas kepada 'predictability'. Dan predictability adalah asas kepada 'trust'

Taat setia dan 'speed of trust': Satu hubungan yang tidak boleh dipisahkan

Dalam pemikiran pengurusan moden, Stephen M.R. Covey memperkenalkan konsep yang relevan untuk memahami bagaimana organisasi dan negara berfungsi. Beliau menyatakan bahawa:

When trust goes down, speed goes down and cost goes up.”

Prinsip ini sering difahami dalam konteks korporat. Tetapi jika diperhalusi, ia juga sesuai dalam konteks negara. Kerana negara adalah sistem yang kompleks, melibatkan ribuan keputusan setiap hari, jutaan interaksi dan pelbagai lapisan pelaksanaan. Dalam sistem sebegini, kepercayaan bukan sekadar nilai tambahan. Ia adalah 'operating fuel'.

Apabila trust tinggi;

   •    Keputusan tidak perlu disemak berulang kali
   •    Arahan tidak perlu diperincikan secara berlebihan
   •    Pelaksanaan berlaku dengan lancar

 Apabila trust rendah;

   •    Setiap keputusan dipersoalkan
   •    Setiap proses diperketatkan
   •    Setiap tindakan memerlukan pengesahan

Hasilnya jelas;

   •    Kelajuan menurun
   •    Kos meningkat
   •    Sistem menjadi berat

Namun di sebalik semua ini, terdapat satu persoalan yang lebih penting: Apakah sumber kepada trust?Jawapannya bukan komunikasi, bukan teknologi, bukan struktur. Jawapannya ialah taat setia.

Jelajah taat setia: Intervensi akar sistem

Apabila siri Jelajah Taat Setia MADANI dilaksanakan merentasi negeri dilihat secara strategik, ia adalah satu intervensi terhadap akar sistem kerana masalah sebenar ialah;

   •    Tafsiran yang berbeza
   •    Pelaksanaan yang tidak seragam
   •    Disiplin yang tidak konsisten

Dalam erti kata lain: 'misalignment'.
Jelajah ini cuba menangani misalignment ini dengan membina semula;

   •    Pemahaman tentang peranan
   •    Kesedaran tentang amanah
   •    Keseragaman dalam nilai

Dalam organisasi besar, trust tidak boleh dibina melalui satu arahan. Ia perlu dibina melalui pengulangan, penyelarasan, dan pengalaman bersama.

MADANI: Nilai yang memerlukan enjin pelaksanaan

Malaysia MADANI menyediakan  kerangka nilai yang jelas. Namun, nilai tidak bergerak dengan sendiri. Ia memerlukan enjin dan enjin itu ialah manusia dalam sistem. Tetapi manusia hanya boleh menjadi enjin yang berkesan jika mereka;

   •    Memahami nilai
   •    Menerima nilai
   •    Melaksanakan nilai secara konsisten

Di sinilah taat setia menjadi penghubung antara nilai dan realiti.
Tanpa taat setia;

 •    Nilai menjadi slogan
 •    Dasar menjadi dokumen
 •    Pelaksanaan menjadi tidak konsisten

Dengan taat setia;

 •    Nilai menjadi tindakan
 •    Dasar menjadi pengalaman
 •    Sistem menjadi boleh dipercayai

Dalam bahasa yang lebih tajam: MADANI "defines intent". Taat setia "determines delivery".

Taat setia sebagai sistem yang hidup - Analogi pokok

Untuk mendalami peranan taat setia dalam pengurusan negara, kita perlu keluar daripada kerangka abstrak. Taat setia sering disebut dalam ucapan dan diulang dalam dokumen. Namun hakikatnya, ia berfungsi lebih daripada itu. Ia hidup dalam sistem. Barangkali analogi yang tepat untuk mengulasnya ialah pokok.

Dalam sebatang pokok, struktur penting bukanlah yang paling jelas kelihatan. Akar berada di bawah permukaan, tidak menonjol, tidak dipamerkan, tetapi menentukan keseluruhan kehidupan pokok itu. Dalam konteks negara, akar ini ialah taat setia. Ia tidak dapat dilihat dalam bentuk fizikal, tetapi ia wujud dalam sikap, disiplin dan cara keputusan dilaksanakan setiap hari oleh penjawat awam.

Daripada akar inilah tumbuh batang,iaitu kepercayaan (trust). Kepercayaan bukan sesuatu yang boleh diarahkan atau diisytiharkan. Ia terbina secara organik apabila sistem berfungsi dengan konsisten. Apabila keputusan dilaksanakan dengan standard yang sama, tanpa mengira siapa pelaksananya, maka batang kepercayaan akan menjadi kukuh. Tanpa akar yang sihat, batang ini tidak akan mampu bertahan.

Seterusnya, daripada batang akan berkembang kepada dahan iaitu institusi dan sistem negara. Di sinilah dasar digubal, program dilaksanakan dan struktur pentadbiran bergerak. Namun kekuatan dahan tidak bergantung kepada reka bentuk semata-mata. Ia bergantung kepada sejauh mana akar dan batang menyokongnya. Institusi yang kelihatan lengkap boleh menjadi rapuh jika tidak disokong oleh taat setia dan kepercayaan yang kukuh.

Akhirnya, hasil kepada rakyat adalah buah dari pokok. Rakyat tidak menilai negara berdasarkan dasar di atas kertas atau struktur organisasi. Mereka menilai melalui pengalaman, perkhidmatan yang mereka terima, keputusan yang mereka rasai dan konsistensi yang mereka lihat. Buah yang baik hanya terhasil daripada pokok yang sihat secara keseluruhan.

Di sinilah pentingnya memahami satu hakikat; Apabila akar kuat, keseluruhan pokok akan stabil. Dahan akan berkembang dengan seimbang dan buah yang dihasilkan akan berkualiti. Namun apabila akar mula lemah, pokok itu masih boleh kelihatan hidup. Daun masih hijau, struktur masih tegak. Tetapi ia sebenarnya rapuh, mudah tumbang apabila berdepan tekanan.

Mekanisme: Daripada taat setia kepada trust

Dalam pengurusan moden, kepercayaan (trust) bukan terbina melalui slogan atau persepsi semata-mata. Ia lahir daripada satu mekanisme yang boleh diperhatikan dan diukur yakni behavioural consistency. Dalam konteks perkhidmatan awam, ini merujuk kepada keupayaan penjawat awam untuk membuat keputusan yang selari dengan dasar, bertindak dengan integriti dan kekal konsisten walaupun berdepan tekanan politik, sosial atau birokrasi. Apabila tingkah laku ini konsisten, sistem menjadi predictable.

Rakyat dan pihak berkepentingan tahu apa yang boleh dijangka, bagaimana permohonan akan diproses, berapa lama keputusan diambil dan apakah standard yang digunakan. Dalam bahasa pengurusan, ini mengurangkan uncertainty cost. Ketidakpastian adalah kos yang tidak kelihatan tetapi sangat besar, ia melambatkan keputusan, meningkatkan keperluan semakan berlapis dan membuka ruang kepada rundingan tidak formal yang akhirnya menjejaskan integriti sistem.

Di sinilah taat setia memainkan peranan asas. Taat setia bukan sekadar kesetiaan kepada institusi, tetapi kesetiaan kepada standard, kepada prinsip bahawa keputusan mesti dibuat dengan cara yang sama, tanpa pengecualian. Apabila standard ini dipegang secara kolektif, ia menghasilkan konsistensi tingkah laku merentasi sistem. Apabila sistem menjadi boleh diramal, kepercayaan mula terbina secara organik. Ini bukan kepercayaan yang bersifat retorik, tetapi kepercayaan operasi iaitu operational trust. Ia boleh dilihat dalam bentuk yang nyata; 'masa kelulusan yang lebih singkat, pengurangan keperluan audit berulang dan penurunan dalam transaction friction antara kerajaan dan rakyat'

Kehilangan bermula apabila tiada yang setia

Kehilangan negara dalam makna tersirat bukan tentang sempadan yang hilang, tetapi tentang negara yang masih wujud tanpa jiwa. Ia bermula apabila kesetiaan tidak lagi mutlak, apabila amanah dirunding, prinsip ditangguhkan dan tanggungjawab ditukar menjadi kepentingan. Sistem terus berjalan, tetapi kosong; keputusan dibuat, tetapi tidak diyakini; pelaksanaan berlaku, tetapi tidak dihormati. Pada saat itu, negara tidak lagi dipimpin oleh nilai, ia hanya digerakkan oleh keperluan sementara.

Lebih berbahaya, kehilangan negara ialah saat rakyat berhenti percaya, dan penjawat berhenti peduli. Trust runtuh, bukan dengan dentuman, tetapi dengan penghakisan, hari demi hari, keputusan demi keputusan. Segala-galanya kelihatan stabil, tetapi sebenarnya rapuh. Inilah keruntuhan sebenar;

“Bukan apabila negara diserang, tetapi apabila akar kesetiaan mati, dan seluruh sistem masih belum sedar ia sedang runtuh.”

Ujian sebenar: BDR dan krisis

Keupayaan sebenar taat setia diuji apabila sistem berada di luar keadaan normal, iaitu ketika kawalan berkurang atau tekanan meningkat.

Pengalaman BDR (bekerja dari rumah) memberikan satu ujian semula jadi (natural experiment) kepada sistem perkhidmatan awam. Apabila pengawasan fizikal dikurangkan, mekanisme kawalan tradisional menjadi lemah. Dalam keadaan ini, satu-satunya pemboleh ubah yang memastikan kesinambungan operasi ialah intrinsic integrity yakni integriti dalaman individu. Organisasi yang mempunyai tahap taat setia tinggi menunjukkan kesinambungan prestasi walaupun tanpa pemantauan rapat, manakala organisasi yang bergantung kepada kawalan luaran menunjukkan penurunan produktiviti dan konsistensi.

Begitu juga dalam krisis ekonomi dan fiskal. Dalam keadaan tekanan tinggi, reka bentuk dasar semata-mata tidak mencukupi. Faktor penentu ialah execution fidelity ia itu sejauh mana dasar dilaksanakan seperti yang dimaksudkan. Jika taat setia kuat, sistem mampu mengekalkan disiplin pelaksanaan walaupun sumber terhad. Jika lemah, kebocoran (leakages), ketirisan dan ketidakselarasan akan meningkat. Secara empirikal, krisis bertindak sebagai stress test kepada sistem, mendedahkan sama ada kekuatan sebenar terletak pada struktur atau pada nilai dalaman pelaksana.

Penjawat awam sebagai akar negara

Dari sudut analisis, setiap keputusan kecil menyumbang kepada pembinaan atau penghakisan trust capital, modal kepercayaan yang terkumpul dalam sistem. Apabila tindakan ini dikumpulkan merentasi masa dan organisasi, ia membentuk corak yang menentukan sama ada sistem itu stabil, cekap dan diyakini.

Justeru, persoalan sebenar bukan sekadar sama ada sistem ini berfungsi, tetapi sama ada ia hidup sebagai satu ekosistem yang berakar pada taat setia. Kerana pada akhirnya, perbezaan antara negara yang sekadar bergerak dan negara yang benar-benar berfungsi terletak pada kekuatan akarnya.

Rumusan

Jika akar itu kuat, ’taklif’ dan ‘tasrif’ difahami maka trust terbina. Jika akar itu longgar, keruntuhan tidak berlaku dengan bunyi kuat, ia berlaku apabila sistem terus berjalan, tetapi tidak lagi dipercayai. Bila mana kepercayaan itu hilang, negara masih wujud strukturnya tetapi telah kehilangan kekuatan sebenar sebagai sebuah sistem. Justeru, bagus kalau diamati kata-kata Saidina Umar Ibn al Khatab tentang taat setia;

“Aku tidak dimuliakan dengan jawatan ini, aku diuji dengannya kerana setiap amanah akan dipersoalkan, dan tanpa taat setia kepada keadilan, aku hanyalah pengkhianat kepada tanggungjawabku sendiri.”


* Datuk Yahaya Abdullah adalah Felo Akademi Kenegaraan Malaysia, pakar komunikasi strategik dan Ahli Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video