KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk dua pensyarah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes menerima rasuah berkaitan projek penyelidikan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di utara tanah air.
Menerusi satu kenyataan, dua lagi yang ditahan masing-masing merupakan seorang pegawai syarikat berkaitan minyak dan seorang pengarah syarikat kejuruteraan.
Kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan antara jam 2 hingga 5 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM5 juta daripada beberapa syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan projek penyelidikan serta penyelewengan dana.
“Kegiatan itu dipercayai berlaku dalam tempoh antara tahun 2019 hingga 2025 di mana pegawai dan pengarah syarikat dijadikan proksi kepada kedua-dua pensyarah IPTS tersebut menerima rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, kedua-dua pensyarah itu dipercayai menerima wang rasuah sama ada secara tunai atau melalui pemindahan ke akaun bank peribadi masing-masing.
Dalam perkembangan sama, SPRM turut membekukan 70 akaun bank bernilai kira-kira RM8.5 juta serta menyita tujuh kenderaan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok bagi permohonan reman.