PRESIDEN Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, percaya dengan kemampuan barisan pemain sedia ada untuk Malaysia mempertahankan kejuaraan acara regu dan doubles menjelang saingan Piala Dunia ISTAF di Stadium Titiwangsa bermula esok.
Bagaimanapun, menurutnya, pemain perlu sentiasa berwaspada dan menggunakan taktikal terbaik yang disediakan jurulatih untuk memastikan segala perancangan berjalan lancar.
Sumali juga tidak menolak kebarangkalian pemain sedia ada mampu menyinar dalam acara kuadran biarpun cabaran dalam acara itu disifatkan lebih seimbang.
Ini berdasarkan perincian serta data yang diterima jurulatih, seiring dengan kekuatan 14 pasukan bertanding.
"Maklumat yang diperoleh daripada negara lain, mereka sudah membuat persiapan rapi untuk bersaing dalam Piala Dunia bermula esok," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
"Saya rasa edisi kali ini akan bertambah sengit, terutama dalam acara kuadran.
"Malaysia juga sudah bersedia dalam acara itu. Kita tahu terdapat beberapa kelemahan dalam acara kuadran sebelum ini dan kami sudah cuba memperbaikinya.
"Sudah tentu saingan lebih sengit dalam acara kuadran kerana ada beberapa negara yang sama tahapnya, di mana ruang dan peluangnya 50-50."
- Artikel asal disiarkan di StadiumAstro.com