Skip to main content

Malaysia

Bekas renjer ditahan miliki bahagian hidupan liar bernilai RM589,230

Bekas renjer bahagian hidupan liar
Pemeriksaan menemukan tanduk rusa, sumbu badak, sisik tenggiling, bangkai serta kulit ular sawa, tengkorak burung enggang, tulang dan gigi hajah serta banyak lagi. - PDRM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang disyaki bekas renjer ditahan selepas dipercayai memiliki pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi dalam serbuan di Tuaran, Sabah hari ini.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata lelaki berusia 61 tahun itu ditahan kira-kira 7.15 pagi dalam operasi hasil kerjasama WCB/PSK dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan 55 pasang tanduk dipercayai tanduk rusa, tiga batang sumbu badak, 330 keping sisik tenggiling, bangkai serta kulit ular sawa, tengkorak burung enggang, tulang dan gigi gajah, tanduk tambadau, tengkorak beruang serta beberapa bahagian haiwan liar lain.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM589,230,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Image
Bekas renjer bahagian hidupan liar

Mohd Zaki berkata siasatan awal mendapati suspek memperoleh bahagian haiwan berkenaan dengan membelinya daripada penduduk kampung di kawasan pedalaman Sabah selain mengumpul bahagian haiwan yang ditemukan untuk dijadikan koleksi peribadi.

Beliau berkata suspek dipercayai mula mengumpul bahagian haiwan liar itu sejak berkhidmat sebagai renjer pada 1986 sebelum bersara pilihan pada 2019 atas faktor kesihatan.

Mohd Zaki berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah kerana memiliki atau memburu hidupan liar dilindungi serta Seksyen 41(2) enakmen sama kerana memiliki atau menjual hidupan liar dilindungi.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda minimum RM50,000 hingga maksimum RM250,000 atau penjara sehingga lima tahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 41(1).

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 41(2), pesalah boleh didenda minimum RM30,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata suspek bersama dengan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

Must Watch Video