TEKANAN terhadap pengurus Arne Slot kembali memuncak selepas Liverpool FC mempamerkan aksi hambar ketika menentang Galatasaray SK dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL) pada awal pagi Rabu.
Perlawanan tersebut dianggap antara peluang terbaik buat Liverpool menyelamatkan kempen 2025/26, namun aksi longlai yang dipamerkan skuad kendalian Slot menimbulkan kekecewaan besar dalam kalangan peminat.
Pertembungan di Ali Sami Yen Sports Complex RAMS Park, Istambul itu menyaksikan The Reds tumpas 1-0 menerusi jaringan awal tuan rumah yang disempurnakan Mario Lemina pada minit ketujuh.
Prestasi tidak konsisten sepanjang musim ini menyaksikan sebahagian peminat semakin hilang kepercayaan terhadap jurulatih dari Belanda itu, malah ada yang secara terbuka mendesak pihak pengurusan kelab mengambil tindakan segera.
Beberapa peminat meluahkan kekecewaan di media sosial dengan meminta pemilik kelab, Fenway Sports Group supaya menamatkan khidmat Slot, susulan rentetan prestasi kurang memberangsangkan.
Terdahulu musim ini, sebahagian peminat sudah mula mempersoalkan kedudukan Slot selepas Liverpool merekodkan sembilan kekalahan dalam 12 perlawanan, sekali gus menjejaskan momentum pasukan.
Kekecewaan itu turut mencetuskan cadangan agar kelab mencari pengendali baharu, termasuk membawa masuk jurulatih Xabi Alonso yang kini antara nama hangat dalam radar kelab-kelab besar Eropah.
Bagaimanapun, laporan media di England menyebut Liverpool tidak mempunyai perancangan untuk menamatkan kontrak Slot dalam masa terdekat.
Slot dijangka kekal mengendalikan pasukan sekurang-kurangnya sehingga penghujung musim ini, walaupun masa depannya mungkin dipengaruhi kedudukan Liverpool dalam saingan liga.
Bekas pemain The Reds, Jamie Carragher sebelum ini berpendapat kedudukan Slot berpotensi terancam sekiranya Liverpool gagal melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Ketika ini Liverpool berada di tangga keenam liga menjelang pertemuan menentang Tottenham Hotspur hujung minggu ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Liverpool akan menanti Galatasaray dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Anfield pada Khamis depan. - Sinar Harian