Skip to main content

Malaysia

Mangsa banjir Beaufort meningkat pagi ini

BEAUFORT, 27 Feb -- Beberapa rumah penduduk kampung yang terletak di tepi Sungai Padas, Beaufort, masih ditenggelami air banjir yang melanda daerah ini hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kesemua mangsa kini dipindahkan dan ditempatkan di pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon yang dibuka 3 petang semalam. - Foto fail/BERNAMA

BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir di daerah Beaufort mencatatkan peningkatan pagi ini apabila 258 orang daripada 89 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan setakat 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan angka terbaru itu menunjukkan peningkatan berbanding 66 mangsa daripada 24 KIR yang dicatatkan pada 8 malam tadi.

Menurut kenyataan hari ini, kesemua mangsa kini dipindahkan dan ditempatkan di pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon yang dibuka 3 petang semalam.

"Mangsa yang berlindung di PPK berkenaan terdiri daripada 86 lelaki dan 51 perempuan bagi kategori dewasa serta warga emas. Turut ditempatkan di pusat pemindahan sama ialah 121 kanak-kanak dan bayi," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, jumlah kampung terjejas telah bertambah kepada 10 buah kampung pagi ini, berbanding hanya tiga yang dilaporkan malam tadi.

Sekretariat memaklumkan bahawa tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan bencana tersebut, dan tiada laporan diterima mengenai penduduk terjejas yang terkepung di luar kawasan pemindahan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement