Skip to main content

Malaysia

Malaysia desak akses tanpa halangan terhadap bantuan kemanusiaan

PUTRAJAYA, 20 April -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap pada Majlis Pelancaran Dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025: Kesihatan Warga Emas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Dzulkefly berkata rantaian bekalan perubatan dan kesihatan perlu kekal terbuka serta boleh dipercayai, khususnya ketika krisis. - Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia menekankan keperluan kritikal untuk memastikan akses kepada bantuan kemanusiaan tidak terhalang dalam landskap geopolitik yang semakin tidak menentu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata di bawah tema “Membentuk Semula Kesihatan Global: Tanggungjawab Bersama”, Malaysia menyeru semua negara supaya menjunjung prinsip kemanusiaan dan menghormati undang-undang kemanusiaan.

“Melindungi petugas kesihatan, infrastruktur dan orang awam mesti melangkaui perbezaan politik. Rantaian bekalan perubatan dan kesihatan perlu kekal terbuka serta boleh dipercayai, khususnya ketika krisis.

“Apabila isu kesihatan dipolitikkan, lebih buruk lagi dijadikan senjata, golongan paling rentan akan menanggung kesan paling besar,” katanya dalam kenyataan Malaysia pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 di Geneva.

Dr Dzulkefly kini berada di Geneva bagi menghadiri perhimpunan itu yang berlangsung dari 18 hingga 23 Mei.

Beliau berkata Malaysia turut merakamkan penghargaan terhadap laporan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengetengahkan usaha berterusan organisasi itu dalam menstabilkan sistem kesihatan dan merapatkan jurang kesihatan global.

Di peringkat domestik, Dr Dzulkefly berkata Reformasi Kesihatan MADANI iaitu inisiatif Kerajaan MADANI, sedang mentransformasikan sistem penjagaan kesihatan negara menerusi peluasan penjagaan berasaskan komuniti serta mempercepat pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti dan berpusatkan rakyat.

Beliau berkata reformasi itu memberi keutamaan kepada usaha menangani penyakit tidak berjangkit dan kesihatan mental melalui pendekatan strategik “5S” yang memfokuskan kepada gula, rokok, garam, stigma dan gaya hidup tidak aktif.

Beliau berkata usaha itu turut disokong Pelan Tindakan Wawasan Tingkah Laku yang menggunakan psikologi berasaskan bukti untuk memperhalusi intervensi kesihatan awam.

“Selain itu, inisiatif Kesihatan Paru-paru kami telah menyatukan laluan rawatan bagi tuberkulosis, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) dan kanser paru-paru. Menerusi pelaksanaan saringan berbantukan kecerdasan buatan (AI) di seluruh negara, kita sedang beralih daripada pendekatan merawat apabila sakit kepada pengesanan awal dan rawatan secara proaktif.

“Kami mengalu-alukan negara anggota untuk menjadikan model bersepadu ini sabagi contoh bagi mencapai manfaat nyata di peringkat nasional,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Dr Dzulkefly mengulangi komitmen Malaysia untuk terus menyokong WHO yang tangkas, bertanggungjawab dan bersedia menghadapi masa depan, selain memperkukuh seni bina kesihatan global ke arah masa depan lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan untuk semua.

-- BERNAMA

 


 

Must Watch Video

Advertisement