Skip to main content

Sukan

Moto3: Mentaliti enggan menyerah kalah pacu Hakim Danish raih podium sulung

Stadium Astro
Pelumba berusia 18 tahun itu ketika ini menduduki tempat ke-11 dalam carta kejuaraan Moto3 dengan mengutip 43 mata. - Gambar fail/Stadium Astro

KUALA LUMPUR: Mentaliti enggan menyerah kalah merupakan kunci kejayaan pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli yang berjaya meraih pencapaian podium sulung musim ini dengan menduduki tempat ketiga pada Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello, semalam.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, yang gembira dengan keputusan tersebut, berkata beliau telah memberikan segala-galanya bermula dari awal perlumbaan dan kekal fokus sehingga berjaya menaiki podium.

“Perlumbaan sangat sengit. Kelompok hadapan sentiasa bertukar kedudukan dan kami berlumba pada had maksimum dari awal hingga akhir. Saya tahu satu kesilapan kecil sahaja boleh mengubah segala-galanya.

“Meskipun pada pusingan terakhir saya sedikit ke belakang, namun saya tidak berputus asa. Saya hanya cuba untuk kekal tenang dan mencari ruang untuk memintas pelumba lain satu demi satu dan Alhamdulillah strategi itu membuahkan hasil untuk saya meraih podium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakim Danish ketinggalan 0.456 saat (s) di belakang pemenang perlumbaan, Brian Uriarte dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang mencatat masa 33 minit 07.80s.

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukan Uriarte, Alvaro Carpe yang merekodkan masa 33:08.219s.

Pencapaian Hakim Danish di GP Itali menyaksikannya menamatkan kemarau podium Malaysia dalam saingan Moto3 sejak kali terakhir dicapai Khairul Idham Pawi ketika muncul juara GP Argentina pada 2016.

Pelumba berusia 18 tahun itu ketika ini menduduki tempat ke-11 dalam carta kejuaraan Moto3 dengan mengutip 43 mata di belakang pendahulu dari Maximo Quiles yang mewakili CFMOTO Valresa Aspar Team (145 mata).

Hakim Danish akan meneruskan cabaran dalam perlumbaan kelapan musim ini pada GP Hungary dari 5-7 Jun ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement