PERUBAHAN iklim bukan lagi sekadar isu yang dibincangkan dalam persidangan antarabangsa atau laporan saintifik.
Ia kini realiti yang dirasai masyarakat di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Gelombang haba yang semakin ekstrem, banjir luar jangka, kemarau berpanjangan dan perubahan corak cuaca yang tidak menentu menunjukkan bahawa dunia sedang berhadapan dengan cabaran yang semakin serius.
Namun, di sebalik ancaman perubahan iklim yang semakin ketara, muncul satu lagi cabaran yang tidak kurang membimbangkan iaitu penularan maklumat palsu dan disinformasi berkaitan iklim.
Dalam era digital yang dipacu media sosial dan algoritma, maklumat tidak tepat boleh tersebar lebih pantas berbanding fakta sahih.
Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai bengkel Amplifying Public Interest Against Climate Disinformation di Chiang Mai, Thailand yang menghimpunkan pengamal media, pencipta kandungan digital dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Myanmar.
Walaupun peserta datang daripada pelbagai latar belakang dan negara, satu perkara yang menjadi kebimbangan bersama ialah bagaimana disinformasi iklim semakin mempengaruhi cara masyarakat memahami isu perubahan iklim.
Apa yang menarik, disinformasi iklim hari ini tidak lagi muncul dalam bentuk penafian terang-terangan bahawa perubahan iklim tidak wujud. Sebaliknya, ia hadir dalam bentuk yang lebih halus dan sukar dikesan.
Ada kandungan yang mengakui perubahan iklim berlaku, namun cuba memperkecilkan kesannya.
Ada yang menimbulkan keraguan terhadap kajian saintifik atau menyebarkan naratif bahawa usaha menangani perubahan iklim hanyalah agenda pihak tertentu untuk mengawal ekonomi dan kehidupan masyarakat.
Lebih membimbangkan, maklumat seperti ini sering disampaikan dalam bentuk yang mudah menarik perhatian.
Video pendek, infografik berwarna-warni, meme dan kapsyen ringkas yang bersifat sensasi lebih mudah mendapat tempat di media sosial berbanding laporan saintifik yang panjang dan memerlukan penelitian.
Akibatnya, masyarakat berdepan kesukaran untuk membezakan antara fakta dan maklumat yang mengelirukan.
Fenomena ini menjadi lebih kompleks apabila algoritma platform digital memainkan peranan besar dalam menentukan maklumat yang dipaparkan kepada pengguna.
Ramai beranggapan mereka bebas memilih kandungan yang ingin dilihat, tetapi hakikatnya sebahagian besar maklumat yang muncul di skrin telefon pintar telah dipilih terlebih dahulu oleh sistem algoritma.
Platform media sosial direka untuk memaksimumkan penglibatan pengguna. Kandungan yang menerima banyak tontonan, komen dan perkongsian akan terus dipromosikan kepada lebih ramai pengguna.
Malangnya, kandungan yang bersifat kontroversi, mengundang kemarahan atau menimbulkan ketakutan sering memperoleh kadar interaksi yang lebih tinggi berbanding kandungan yang berasaskan fakta.
Apabila seseorang kerap berinteraksi dengan kandungan yang mempertikaikan perubahan iklim, algoritma akan terus memaparkan kandungan yang serupa.
Akibatnya, pengguna boleh terperangkap dalam ruang gema atau echo chamber, iaitu situasi apabila seseorang hanya terdedah kepada pandangan yang mengukuhkan kepercayaan sedia ada tanpa pendedahan kepada maklumat yang lebih seimbang.
Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada isu perubahan iklim, malah turut mempengaruhi cara masyarakat memahami pelbagai isu penting lain seperti kesihatan awam, politik dan keselamatan.
Dalam konteks iklim, kesannya boleh menjadi lebih besar kerana ia melibatkan keputusan dan tindakan yang perlu diambil untuk masa depan generasi akan datang.
Malaysia sendiri tidak terkecuali daripada cabaran ini. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, rakyat menyaksikan peningkatan kejadian cuaca ekstrem termasuk banjir besar yang menjejaskan ribuan keluarga di beberapa negeri.
Namun pada masa sama, media sosial masih dipenuhi dakwaan yang tidak disokong bukti saintifik mengenai punca fenomena tersebut.
Ada yang menganggap peningkatan suhu hanyalah kitaran cuaca biasa. Ada yang mendakwa perubahan iklim sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu.
Naratif seperti ini mungkin kelihatan tidak berbahaya, tetapi ia boleh melemahkan kesedaran awam dan mengurangkan sokongan terhadap dasar atau tindakan yang diperlukan untuk menangani cabaran iklim.
Dalam situasi ini, peranan media menjadi semakin penting. Wartawan dan organisasi berita bukan sahaja perlu melaporkan fakta, tetapi memastikan maklumat yang disampaikan mudah difahami dan relevan dengan kehidupan masyarakat.
Cabarannya bukan kecil. Isu perubahan iklim sering melibatkan istilah saintifik, data teknikal dan kajian yang kompleks.
Namun jika maklumat tersebut gagal difahami oleh orang ramai, ia sukar menghasilkan perubahan sikap dan tindakan.
Oleh itu, media perlu mencari pendekatan yang lebih dekat dengan khalayak. Sebagai contoh, peningkatan suhu global mungkin kelihatan jauh daripada kehidupan harian rakyat.
Namun apabila dikaitkan dengan kenaikan harga makanan, hasil pertanian yang terjejas, bekalan air yang semakin terhad atau risiko banjir yang lebih kerap berlaku, masyarakat akan lebih mudah memahami kesannya.
Dalam masa sama, masyarakat juga perlu diperkasakan dengan literasi media dan maklumat.
Dalam dunia digital hari ini, setiap individu bukan sahaja pengguna maklumat, malah berpotensi menjadi penyebar maklumat kepada orang lain.
Satu perkongsian tanpa semakan boleh menyumbang kepada penyebaran maklumat mengelirukan dalam skala besar.
Justeru, masyarakat perlu membiasakan diri untuk menyemak sumber maklumat, menilai kredibiliti penulis dan membandingkan maklumat daripada pelbagai sumber sebelum membuat kesimpulan.
Kemahiran ini menjadi semakin penting apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) membolehkan kandungan palsu dihasilkan dengan lebih mudah dan meyakinkan.
Pengalaman di Chiang Mai juga menunjukkan bahawa disinformasi iklim bukan isu yang boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja.
Ia memerlukan kerjasama antara media, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penyelidik, pencipta kandungan digital, dan masyarakat secara keseluruhannya.
Pada akhirnya, perubahan iklim bukan sekadar krisis alam sekitar, tetapi juga krisis maklumat.
Jika masyarakat gagal membezakan antara fakta dan kepalsuan, usaha menangani perubahan iklim akan menjadi lebih sukar.
Dalam dunia yang dipacu algoritma, mempertahankan kebenaran mungkin menjadi cabaran terbesar zaman ini.
Namun tanpa maklumat yang tepat, sukar untuk kita membuat keputusan yang betul. Dan tanpa keputusan yang betul, masa depan yang lebih lestari akan menjadi semakin sukar untuk dicapai.
Mohammad Sudirman Mohd Tahir ialah penulis bebas dan calon Doktor Falsafah (PhD) Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sidang Pengarang Astro AWANI.