Skip to main content

Sukan

Liga Super: Terengganu tewas 1-3 di tangan Imigresen di Kuala Nerus

KUALA NERUS, 8 Mei -- Pemain Terengganu FC, Muhammad Azam Azmi Murad (dua, kanan) mengasak pemain Imigresen FC, Wilmar Jordan Gil (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.  Keputusan semasa Terengganu FC 1-3 Imigresen FC.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain Terengganu FC, Muhammad Azam Azmi Murad (dua, kanan) mengasak Wilmar (kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2025/2026 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi. --fotoBERNAMA

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila tewas 1-3 kepada Imigresen FC, dalam saingan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), di sini malam tadi.

Skuad Penyu yang turun dengan misi wajib menang, memulakan aksi dengan cemerlang apabila pertahanan import Raianderson Da Costa, meledak gol pembukaan pada minit keenam menerusi penyudah kemas hasil hantaran Yann Mabella.

Bagaimanapun, jaringan awal itu tidak melemahkan semangat pelawat yang terus menggandakan tekanan, bagi memburu gol penyamaan.

Usaha tersebut berhasil pada minit ke-18, apabila hantaran lintang Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin tertampan kaki pertahanan TFC Diego Landis, sebelum menerjah gawang sendiri untuk kedudukan 1-1.

Imigresen kemudian berada di hadapan pada minit ke-32, selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Muhammad Hairiey Hakim Mamat terhadap Wilmar Jordan di dalam kotak penalti.

Wilmar tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk meletakkan pasukan pelawat mendahului 2-1.

Bersambung babak kedua, Eduardo Sosa menambah derita tuan rumah apabila meledak gol ketiga Imigresen menerusi rembatan dalam kotak penalti pada minit ke-47.

Tersentak dengan jaringan itu, TFC cuba bangkit mengatur serangan, namun gagal menembusi benteng pertahanan pelawat sekali gus menyaksikan keputusan 3-1 kekal hingga wisel penamat.

Sementara itu, aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), menyaksikan PDRM FC dan Penang FC terikat 1-1 pada separuh masa pertama.

Penang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi OJ Porteria pada minit ke-34 sebelum PDRM bangkit menyamakan kedudukan hasil gol sendiri pemain tengah Penang, Kamil Jaser Rendon Amirul, menjelang tamat babak pertama.

Kedudukan itu kekal sehingga ke akhir perlawanan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video