CUPERTINO: Ciri penyulitan hujung ke hujung (E2EE) bagi protokol perkhidmatan komunikasi RCS kini mula ditawarkan kepada pengguna iPhone secara rasmi, hari ini.
Sokongan tersebut diperkenalkan menerusi kemas kini sistem operasi iOS 26.5 versi beta yang diaktifkan secara lalai (default) sejurus selepas peranti dikemas kini, lapor Amanz.
Pengenalan ciri keselamatan itu merupakan hasil kerjasama antara Apple, Google dan GSMA dalam usaha menjadikan RCS sebagai standard pemesejan moden bagi menggantikan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Menerusi sokongan ini, pengguna iPhone kini boleh berkomunikasi dengan lebih selamat dengan pengguna Android melalui aplikasi Google Messages yang turut menyokong piawaian E2EE.
Mesej yang dihantar dengan perlindungan penyulitan akan memaparkan ikon mangga terkunci pada skrin peranti sebagai indikasi bahawa perbualan tersebut tidak boleh dipintas oleh pihak ketiga.
Walau bagaimanapun, Apple menegaskan bahawa iMessage kekal sebagai kaedah komunikasi paling selamat untuk ekosistem perantinya kerana telah menyokong teknologi E2EE sejak sekian lama.
Langkah ini dilihat sebagai anjakan besar dalam industri telekomunikasi bagi merapatkan jurang privasi antara dua platform sistem operasi mudah alih terbesar dunia tersebut.