KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT) Luis Garcia menyatakan minat mendalam terhadap idea yang diutarakan CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon bagi menangani cabaran kewangan yang dihadapi pasukan Liga Malaysia (Liga-M).
Garcia berkata beliau tertarik dengan kenyataan terkini Johan yang mendakwa mempunyai penyelesaian terhadap masalah kewangan liga itu, selain berharap cadangan berkenaan dapat dibincangkan secara bersama melibatkan semua pasukan.
Bekas pemain antarabangsa Sepanyol dan Liverpool itu berkata satu perbincangan meja bulat yang menghimpunkan semua pasukan adalah perlu bagi memahami dengan lebih jelas penyelesaian yang dicadangkan Johan.
“Saya berbesar hati kerana pernah beraksi di peringkat tertinggi selain berpeluang bekerjasama dengan organisasi bertaraf dunia, dan saya amat ingin mengetahui penyelesaian yang dimiliki Johan berdasarkan pengalaman serta pengetahuannya yang luas dalam bola sepak tempatan dan antarabangsa.
“Saya berharap perbincangan bersama semua pasukan ini dapat diadakan dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tigers, hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan Johan menggesa agar perbincangan serius diadakan, termasuk kemungkinan menganjurkan sesi meja bulat membabitkan semua pemegang taruh Liga-M dalam masa terdekat, khususnya susulan situasi kewangan yang semakin membimbangkan dalam kalangan kebanyakan pasukan.
Negeri Sembilan FC (NSFC) turut dilaporkan menyokong cadangan mengadakan perbincangan meja bulat bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh.
Antara isu berulang yang menjejaskan Liga-M termasuk kelewatan pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan oleh beberapa kelab, selain cabaran peningkatan kos operasi yang semakin tinggi, diperburuk oleh kesan ketegangan berterusan di Asia Barat.
-- BERNAMA